ATHENS: Aktivis alam sekitar terkenal dari Sweden, Greta Thunberg, tiba di Greece semalam bersama ratusan aktivis lain yang diusir dari Israel selepas cubaan mereka menghantar bantuan ke Semenanjung Gaza digagalkan pihak berkuasa rejim tersebut.
Thunberg, 22, merupakan antara ratusan aktivis yang menaiki kapal dalam misi armada dikenali sebagai Global Sumud Flotilla, yang berusaha menembusi sekatan laut Israel terhadap wilayah Gaza yang dilanda perang.
Beliau dan 160 aktivis lain mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Athens semalam dan disambut dengan sorakan serta kibaran bendera Palestin oleh kumpulan penyokong.
Dalam kenyataannya, Thunberg menyifatkan Global Sumud Flotilla sebagai usaha terbesar pernah dilakukan untuk menamatkan sekatan haram dan tidak berperikemanusiaan Israel ke atas Gaza.
“Adalah satu penghinaan bahawa misi seperti ini perlu wujud. Dunia mesti bertindak segera bagi menghalang genosid yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin,” katanya sambil menegaskan kerajaan dunia gagal menunjukkan tanggungjawab minimum dalam isu ini.
Di balai ketibaan lapangan terbang, aktivis-aktivis terbabit membentangkan bendera gergasi Palestin sambil melaungkan slogan “Kebebasan untuk Palestin” dan “Hidup flotila!”
Menurut Kementerian Luar Greece, penerbangan khas yang membawa pulang kumpulan itu terdiri daripada 27 warga Greece dan 134 aktivis dari 15 negara Eropah.
Kementerian Luar Israel pula memaklumkan seramai 171 aktivis telah dihantar pulang ke Greece dan Slovakia, manakala 138 lagi masih ditahan di negara itu.
Flotila berkenaan berlepas dari Barcelona, Sepanyol, pada awal September lalu dan dipintas oleh tentera laut Israel di perairan berhampiran Mesir minggu lalu.
Pihak berkuasa Israel menuduh flotila itu mempunyai kaitan dengan Hamas dan mendakwa kapal berkenaan telah memasuki zon larangan selain hanya membawa sedikit bantuan kemanusiaan.
Polis Israel memaklumkan lebih 470 orang yang menaiki kapal flotila telah ditahan. – AGENSI










