El-Sisi, Trump pengerusikan Sidang Kemuncak Gaza di Mesir

El-Sisi, Trump pengerusikan Sidang Kemuncak Gaza di Mesir

PENDUDUK Palestin menunjukkan isyarat kemenangan ketika menuju ke Gaza City melalui koridor Netzarim dari Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan mempengerusikan satu sidang kemuncak antarabangsa mengenai Gaza di Sharm el-Sheikh bagi membincangkan cadangan untuk menamatkan perang Israel di wilayah itu.

Menurut kenyataan rasmi Pejabat Presiden Mesir, sidang tersebut akan dihadiri oleh pemimpin dari lebih 20 negara dengan matlamat untuk menamatkan peperangan di Semenanjung Gaza, memperkukuh usaha ke arah keamanan dan kestabilan di Asia Barat serta membuka lembaran baharu dalam keselamatan serantau.

Antara pemimpin yang mengesahkan kehadiran ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres; Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer; Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni; Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez; Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Pengumuman ini dibuat ketika puluhan ribu penduduk Palestin dilaporkan mula bergerak pulang ke utara Gaza dengan menaiki kenderaan, berjalan kaki dan menggunakan kereta kuda menuju ke rumah mereka yang musnah selepas gencatan senjata antara Israel dan Hamas dilaporkan masih kekal berkuat kuasa.

Tentera Israel sebelum ini dilaporkan menarik balik sebahagian pasukannya menerusi fasa pertama perjanjian yang diusahakan AS bagi menamatkan perang yang sudah meragut lebih 67,000 nyawa dan meninggalkan Gaza dalam keadaan kemusnahan serta kebuluran teruk.

Menurut wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud yang membuat liputan dari Gaza City, gencatan senjata itu menghentikan satu bentuk keganasan, tetapi perjuangan untuk terus hidup masih berterusan.

“Penduduk kembali ke utara kerana di situlah tanah air mereka. Mereka berulang kali menegaskan mereka tidak akan meninggalkan tanah Palestin ini walau apa pun berlaku,” katanya.

Pejabat Media Kerajaan Gaza memaklumkan lebih 5,000 operasi awam dijalankan sejak gencatan senjata bermula bagi memperbaiki keadaan hidup penduduk di wilayah itu.

Antaranya termasuk lebih 850 misi menyelamat dan bantuan oleh Pasukan Pertahanan Awam Gaza, pihak polis serta pasukan perbandaran untuk mengeluarkan mayat, membersihkan runtuhan dan mengamankan kawasan musnah.

Menurut pihak Pertahanan Awam, sekitar 150 mayat ditemukan di pelbagai lokasi di seluruh Gaza manakala Hospital Nasser di Khan Younis melaporkan 28 mayat ditemukan di bahagian selatan wilayah tersebut. 

Gaza Humanitarian Foundatioan (GHF) turut dilaporkan menutup tapak operasinya bagi menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab pengagihan bantuan kepada PBB dan agensi-agensi bersekutu di bawahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN