Disertai jutaan orang, himpunan solidariti Palestin ‘lumpuhkan’ Itali

Disertai jutaan orang, himpunan solidariti Palestin ‘lumpuhkan’ Itali

PENUNJUK perasaan mengibarkan bendera Palestin ketika himpunan solidariti Palestin besar-besaran di Milan, Itali. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Itali ‘lumpuh’ selepas ju­taan rakyatnya mengadakan mogok umum dan protes besar-besaran di seluruh negara sebagai tanda solidariti terhadap Pa­lestin dan Flotila Sumud Global (GSF) yang cuba membawa bantuan ke Gaza tetapi disekat oleh Israel.

Lebih dua juta peserta menyertai mogok sejak Jumaat mengakibatkan penutupan perkhidmatan kereta api, penerbangan, metro, bas, sekolah serta hospital di seluruh negara.

Di Milan, lebih 80,000 orang membanjiri jalan raya dengan melaungkan slogan menuntut pembebasan Palestin dan mengibarkan bendera Palestin.

Dari Rom, wartawan Al Jazeera melaporkan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat terdiri daripada pelajar, warga emas dan keluarga bersama anak kecil yang turut sama menyatakan sokongan mereka.

Protes mencapai kemuncak dengan perarakan besar-besaran di Rom semalam menyaksikan ribuan rakyat dari seluruh Itali berhimpun di Piazzale Ostiense bagi menunjukkan solidariti penuh kepada Palestin.

Maya Issa, pemimpin Gerakan Pelajar Palestin, menyeru rakyat Itali memperkuatkan suara menuntut keadilan dan penghentian keganasan di Gaza.

Pensyarah politik antarabangsa dari Universiti Amerika Rom, Andrea Dessi berkata kerajaan Itali kini berada di bawah tekanan hebat akibat kemarahan rakyat yang tidak puas hati dengan sikap bersyarat Perdana Menteri Giorgia Meloni terhadap Palestin.

“Tekanan ini akan terus meningkat dan kita akan lihat demonstrasi besar-besaran dengan penyertaan ribuan rakyat dari seluruh pelosok negara,” katanya.

Antara tuntutan utama protes adalah pembebasan segera rak­yat Itali yang ditahan oleh Israel dalam GSF, sokongan tanpa syarat kepada pembentukan negara Palestin serta tindakan tegas terhadap Israel.

Namun, kerajaan Itali yang merupakan sekutu kuat Israel di Kesatuan Eropah sukar untuk tunduk pada tekanan awam yang semakin membara.

Kerajaan turut mengkritik mogok ini dengan Meloni menyifatkan sesetengah pihak menggunakan protes sebagai alasan untuk cuti panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×