MOSCOW: Pemulihan sistem penjagaan kesihatan di Gaza dijangka menelan belanja AS$7 bilion (RM29.56 bilion), menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Beliau berkata, tiada sebuah hospital pun di Gaza yang beroperasi sepenuhnya, dengan hanya 14 buah hospital masih berfungsi. Keadaan di wilayah itu amat kritikal, kekurangan ubat-ubatan, peralatan serta tenaga kerja perubatan.
Tedros turut menggesa negara-negara lain bersikap lebih proaktif dalam menerima pesakit dari Gaza bagi mendapatkan rawatan.
Menurut WHO, kira-kira 15,000 pesakit memerlukan pemindahan perubatan termasuk 4,000 kanak-kanak, manakala 700 pesakit dilaporkan meninggal dunia ketika menunggu pemindahan.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebelum ini memperkenalkan pelan damai Gaza yang mengandungi 20 perkara pada 29 September lalu.
Pelan tersebut juga mencadangkan Hamas atau mana-mana kumpulan bersenjata Palestin tidak terbabit dalam pentadbiran Gaza, yang akan dikawal oleh jawatankuasa teknokrat di bawah seliaan badan antarabangsa diketuai Trump.
Trump bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah Sisi; Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani; dan Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan menandatangani deklarasi gencatan senjata Gaza.
Hamas kemudiannya membebaskan semua 20 tawanan yang masih hidup sejak 7 Oktober 2023, manakala Israel membebaskan 1,718 tahanan dari Gaza serta 250 banduan Palestin di penjaranya.










