Budak lelaki cedera diserang singa terlepas

Budak lelaki cedera diserang singa terlepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Seekor singa yang dipelihara di sebuah rumah persendirian di Thailand terlepas dan menyerang seorang kanak-kanak lelaki, menyebabkan mangsa dimasukkan ke hospital, menurut kenyataan Jabatan Hidupan Liar pada Ahad.

Singa itu menyerang kanak-kanak tersebut, yang kini dirawat di hospital akibat kecederaan yang tidak diperincikan, ketika dia sedang berjalan di kawasan awam pada malam Sabtu di wilayah Kanchanaburi, barat Thailand.

Media tempatan melaporkan, budak itu dalam perjalanan pulang selepas bermain bersama rakan-rakannya apabila haiwan itu secara tiba-tiba menerkamnya.

Pemilikan singa adalah sah di Thailand, di mana populasi singa peliharaan meningkat mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan hampir 500 ekor didaftarkan di zoo, ladang pembiakan, kafe haiwan dan rumah persendirian.

Namun, pakar memberi amaran trend ini membahayakan haiwan dan manusia, serta berpotensi menyumbang kepada perdagangan haram di dalam dan luar negara.

Pemilik singa itu, yang dikenal pasti oleh jabatan berkenaan hanya sebagai Parinya, didakwa melanggar undang-undang perlindungan hidupan liar dan bakal berdepanhukuman penjara sehingga enam bulan serta denda 50,000 baht ( RM6,506) jika disabitkan kesalahan.

Singa itu  dirampas pihak berkuasa dan jabatan tersebut memaklumkan sebuah pusat pembiakan hidupan liar  menyediakan tempat perlindungan baharu untuknya.

Parinya memberitahu stesen TV tempatan, dia terkejut apabila mengetahui tentang serangan itu, dan menjelaskan singa betina tersebut terlepas selepas dikeluarkan daripada kandangnya yang sedang diubah suai.

“Saya memohon maaf atas kejadian ini, ia adalah satu kemalangan. Saya akan menanggung bayaran pampasan dan kos rawatan perubatan kanak-kanak tersebut,” katanya.

Dalam kenyataannya, jabatan hidupan liar mengingatkan orang ramai yang memelihara haiwan liar supaya sedar akan bahaya yang mungkin timbul, kerana semua haiwan mempunyai naluri buas.

“Sebarang insiden tidak dijangka yang menjejaskan nyawa atau harta orang lain akan dihukum dan didakwa sepenuhnya mengikut undang-undang,” tambah kenyataan itu.

Sejak tahun 2022, undang-undang Thailand mewajibkan pemilik untuk mendaftar dan memasang mikrocip pada singa, serta memaklumkan pihak berkuasa sebelum memindahkannya, namun keperluan berkaitan kandang dan kebajikan haiwan masih longgar.

Bulan lalu, seorang penjaga zoo maut dibaham beberapa ekor singa di sebuah taman safari di pinggir Bangkok, sekali gus mencetuskan semakan semula terhadap keselamatan fasiliti tersebut yang menawarkan lawatan memberi makan singa dan harimau dengan bayaran sekitar AS$40 (RM168) seorang.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×