Britain perkukuh kuasa polis banteras protes pro-Palestin - Utusan Malaysia

Britain perkukuh kuasa polis banteras protes pro-Palestin

PENUNJUK perasaan memegang plakad ketika menyertai demonstrasi solidariti Palestin di Vienna, pada Sabtu lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kerajaan Britain bakal memperkukuh kuasa pihak polis bagi membendung siri protes jalanan yang semakin kerap berlaku, terutamanya demonstrasi menyokong perjuangan Palestin.

Menteri Dalam Negeri, Shabana Mahmood, berkata pihaknya akan menilai semula semua undang-undang antipergeseran sedia ada, termasuk memberi kuasa kepada polis untuk memindahkan lokasi protes berulang atau melarangnya sama sekali atas alasan kesan berterusan daripada gangguan berulang.

Langkah itu diumumkan selepas lebih 500 individu ditahan di tengah London ketika menyertai perhimpunan menyokong kumpulan Palestine Action yang telah diharamkan.

Menurut Mahmood, wujud kekosongan dalam undang-undang yang perlu diperbetulkan segera bagi membolehkan polis bertindak lebih tegas.

“Apa yang ingin saya perjelaskan ialah gangguan yang berulang sama ada dari segi kekerapan atau lokasi tertentu boleh dijadikan alasan yang sah bagi polis mengenakan sekatan atau syarat terhadap protes,” katanya kepada Sky News.

Sejak tercetusnya perang Gaza pada Oktober 2023, perhimpunan besar-besaran menyokong Palestin telah menjadi acara mingguan di ibu kota Britain.

Bagaimanapun, kebelakangan ini muncul satu trend baharu, demonstrasi menyokong Palestine Action, kumpulan yang diharamkan sebagai pertubuhan pengganas selepas terbabit dalam beberapa insiden termasuk pencerobohan ke pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) awal tahun ini.

Susulan serangan pengganas ke atas sebuah rumah ibadat Yahudi di Manchester yang mengorbankan dua nyawa minggu lalu, beberapa pemimpin politik termasuk Perdana Menteri Keir Starmer menyeru agar orang ramai tidak menyertai perhimpunan pro-Palestin hujung minggu ini.

Namun, kumpulan Defend Our Juries, penganjur tunjuk perasaan pada Sabtu lalu, menolak gesaan itu dan menegaskan pihak berkuasa seharusnya memfokuskan usaha membanteras keganasan sebenar, bukan menegakkan larangan tidak munasabah terhadap Palestine Action.

Langkah memperketat kuasa polis itu dilihat sebagai usaha kerajaan untuk mengekang ketegangan sosial yang semakin meningkat sejak berlanjutan konflik Gaza.

Namun, kumpulan hak asasi memberi amaran tindakan tersebut boleh mencabul hak kebebasan berhimpun dan bersuara yang dijamin di bawah undang-undang Britain. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN