Britain belanja 50,000 pound tukar bendera AS semasa lawatan Trump

Britain belanja 50,000 pound tukar bendera AS semasa lawatan Trump

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kerajaan Britain membelanjakan lebih 50,000 pound (RM283,103) bagi menggantikan bendera Amerika Syarikat (AS) sempena lawatan kenegaraan Presiden Donald Trump ke negara itu selepas didapati warna merah pada bendera asal tidak menepati kehendak Washington.

Menurut laporan, sebanyak 66 helai bendera Stars and Stripes buatan tangan terpaksa ditukar bulan lalu dengan kos 800 pound (RM 4,530) setiap satu menjelang lawatan tiga hari Trump pada September.

Bendera baharu dengan tona merah lebih cerah atau dikenali sebagai cherry red dipasang bagi menggantikan bendera lama yang dianggap ‘tidak sesuai’ oleh AS.

Pengarah urusan syarikat pembekal rasmi kerajaan, Flag Consultancy, Nick Farley berkata, perubahan itu dilakukan bagi mengelak insiden yang mungkin dianggap ‘menghina’ delegasi AS.

“Setiap lawatan kenegaraan, kami perlu mengemukakan sampel kepada kedutaan untuk kelulusan. Jika tersilap warna, ia boleh dianggap menghina,” katanya kepada The Telegraph.

Farley menjelaskan, AS menolak penggunaan warna merah asal yang dikenali sebagai R01 dan meminta ditukar kepada rona cherry red.

Syarikat beliau yang juga pembekal bendera untuk pelbagai kementerian kerajaan pernah menyediakan bendera sempena lawatan kenegaraan serta acara diraja termasuk majlis perkahwinan Putera dan Puteri Wales.

Sempena lawatan berkenaan, puluhan bendera Britain dan AS dikibarkan sepanjang The Mall serta jalan menuju Istana Windsor di Berkshire, tempat Trump menginap pada lawatan kenegaraan keduanya.

Trump dan isterinya, Melania, menerima sambutan penuh adat istiadat Britain termasuk perarakan ketenteraan terbesar bagi lawatan kenegaraan dalam sejarah terbaharu negara itu.

Jurucakap kerajaan Britain menjelaskan, lawatan tersebut membawa pelaburan baharu berjumlah 150 bilion pound (RM849 bilion) ke negara itu sekali gus melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN