JAKARTA: Bekalan air di Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara dijangka kekal sebagai cabaran besar kerana kajian oleh Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN) menunjukkan kawasan berkenaan hanya mempunyai 0.5 peratus air bersih di permukaan.
Kajian yang dijalankan menggunakan pendekatan rangkaian neural buatan (ANN) turut mendedahkan sebanyak 20 peratus air disimpan dalam tumbuh-tumbuhan, manakala 79 peratus selebihnya merupakan kawasan bukan air yang terdiri daripada kawasan yang dibangunkan.
Menurut Penyelidik Utama di Pusat Penyelidikan Iklim dan Atmosfera, Organisasi Riset Kebumian dan Kemaritiman BRIN, Laras Toersilowati, situasi ini memerlukan perhatian serius daripada pembuat dasar.
Katanya, ini penting kerana kerajaan menyasarkan Nusantara menjadi ibu kota politik menjelang 2028.
“Air yang benar-benar kelihatan di permukaan hanya 0.5 peratus. Angka ini pastinya jauh daripada mencukupi untuk menyokong keperluan sebuah bandar,” katanya.
Laras berkata, kajian tersebut menggunakan data satelit dengan kaedah ANN yang memiliki tahap ketepatan sehingga 97.7 peratus. Oleh itu, hasil ini boleh dijadikan rujukan awal yang tepat dalam merancang pembangunan IKN.
Kalimantan secara geografinya menerima hujan yang mencukupi, namun kebanyakan air hujan mengalir begitu sahaja akibat kekurangan tumbuh-tumbuhan penyerap serta infrastruktur tadahan air yang terhad.
Sebuah tasik buatan sudah dibina, tetapi saiznya masih terlalu kecil untuk menampung keperluan jangka panjang.
Laras menekankan kekurangan air permukaan di kawasan IKN memerlukan strategi yang sesuai bagi meningkatkan simpanan air.
Katanya, pembinaan kolam dan empangan kecil boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian, namun masalah kekurangan air tetap berisiko berlaku kerana jenis tanah di IKN, kehadiran tanah gambut dan pembangunan kawasan bukan hijau yang pesat.
“Konsep tadbir urus bandar yang mesra alam perlu diterapkan melalui pembinaan hutan bandar di kawasan IKN yang berfungsi sebagai penampan ekologi dan penyerap air hujan selain menstabilkan suhu.
“Bagi jangka panjang, pembinaan empangan di beberapa lokasi serta penggunaan sistem pengagihan air secara digital boleh memastikan penggunaan air yang lebih teratur dan efisien,” katanya.










