SIDOARJO: Seramai 59 orang dilaporkan masih terperangkap di bawah runtuhan sebuah sekolah berasrama penuh bertingkat yang runtuh secara tiba-tiba di Pulau Jawa, Indonesia, menurut pihak berkuasa pada Khamis.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari, berkata jumlah tersebut dikemas kini pada Rabu pukul 11 malam dan masih boleh berubah, memandangkan ada mangsa terselamat yang belum tampil melaporkan diri.
“Data semasa menunjukkan 59 individu masih tertimbus di bawah runtuhan,” katanya dalam satu kenyataan.
Insiden tragis itu berlaku pada Isnin, ketika para pelajar bersiap untuk menunaikan solat Asar.
Sekurang-kurangnya lima orang disahkan maut, manakala usaha mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan mencabar.
Pada Rabu, pasukan penyelamat mengeluarkan lima mangsa yang terselamat, sementara ibu bapa yang cemas terus mendesak usaha mencari ditingkatkan.
Siasatan awal mendapati punca runtuhan mungkin berpunca daripada struktur binaan yang tidak mengikut piawaian, menurut pakar yang terlibat.










