RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya 119 orang terbunuh dalam operasi polis paling berdarah dalam sejarah Brazil yang dilancarkan di kawasan penempatan miskin Rio de Janeiro, sekaligus mencetuskan kemarahan penduduk dan kebimbangan masyarakat antarabangsa terhadap kekerasan pihak berkuasa.
Penduduk di komuniti Complexo da Penha menyusun mayat di tengah jalan sebagai tanda protes selepas operasi besar-besaran itu yang dikatakan bertujuan memerangi kumpulan jenayah terancang Comando Vermelho.
Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, terkejut dengan angka korban tersebut, hanya beberapa hari sebelum negara itu menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Iklim Dunia COP30 di bandar Belem, Amazon.
Sementara aktivis hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan kekerasan berlebihan oleh polis, kerajaan negeri Rio pula memuji operasi itu sebagai kejayaan besar dalam usaha mengekang penguasaan kumpulan dadah bersenjata di kawasan setinggan.
Menurut laporan, kumpulan Comando Vermelho yang semakin berpengaruh itu menggunakan dron untuk menjatuhkan bom ke arah pasukan keselamatan dan menguasai kawasan luas penempatan miskin yang dihuni jutaan penduduk.
Pihak berkuasa negeri memaklumkan jumlah kematian sementara ialah 119 orang, terdiri daripada 115 suspek penjenayah dan empat anggota polis, manakala Pejabat Pembela Awam Negeri Rio melaporkan angka sebenar mungkin mencecah 132 mangsa.
Operasi itu melibatkan ratusan anggota polis yang dibantu kenderaan perisai, helikopter dan dron, menjadikan suasana di favela seperti medan perang.
Tembak-menembak hebat berlaku antara polis dan kumpulan bersenjata, menyebabkan penduduk panik dan mencari perlindungan. Ketika operasi dijalankan, kumpulan Comando Vermelho turut merampas puluhan bas untuk menghalang laluan utama serta melancarkan serangan dron terhadap pasukan keselamatan.
Gabenor Negeri Rio, Claudio Castro, menyifatkan serbuan itu sebagai kejayaan dalam memerangi apa yang digelarnya sebagai narkoterorisme dan menegaskan hanya anggota polis yang menjadi korban.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, turut menyatakan kebimbangan mendalam terhadap kejadian itu, manakala Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) menyifatkannya sebagai sesuatu yang menggerunkan serta menggesa agar siasatan segera dijalankan.
Tragedi ini sekali lagi menonjolkan dilema berpanjangan di Brazil antara perjuangan keras terhadap jenayah dan tuduhan penyalahgunaan kuasa oleh pasukan keselamatan di kawasan termiskin negara itu. -AGENSI










