PETALING JAYA: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) perlu segera direformasi dengan mengehadkan atau memansuhkan kuasa veto supaya dunia tidak terus terjerumus dalam kebuntuan ketika berdepan jenayah kemanusiaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kuasa veto sering disalahgunakan hingga menyekat usaha global menghentikan konflik dan kekejaman sekali gus mengorbankan lebih banyak nyawa orang awam.
“Kita tidak boleh lagi berdiam diri melihat suara kita diketepikan. Kuasa veto ini mesti dipersoalkan dan dicabar.
“Majlis Keselamatan perlu dibebaskan daripada kebuntuan yang memalukan ini,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-80 hari ini.
Mohamad turut menggesa agar kuasa dikembalikan kepada Perhimpunan Agung PBB yang dianggap sebagai badan paling inklusif dan benar-benar mencerminkan suara dunia.
Katanya, isu Palestin telah membayangi PBB hampir sepanjang kewujudannya, apabila 77 daripada 80 tahun sejarah pertubuhan itu dipenuhi dengan pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin.
“Jika kita gagal menyelesaikan isu ini, rakyat dunia akan hilang keyakinan terhadap PBB serta sistem antarabangsa kerana ia jelas merupakan satu bentuk penjajahan moden,” tegasnya.
Dalam ucapannya, Mohamad turut menzahirkan kekecewaan terhadap langkah Amerika Syarikat (AS) yang sekali lagi menggunakan kuasa veto buat kali keenam bagi menggagalkan resolusi UNSC yang menuntut gencatan senjata kekal di Gaza.
Resolusi berkenaan sebelum itu mendapat sokongan 14 anggota lain Majlis Keselamatan yang menyifatkan keadaan kemanusiaan di Gaza sebagai satu bencana. – UTUSAN











