Trump tandatangan perintah eksekutif turunkan tarif kereta Jepun

Trump tandatangan perintah eksekutif turunkan tarif kereta Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani satu perintah eksekutif yang mengurangkan tarif import kereta dari Jepun daripada 27.5 peratus kepada 15 peratus, sekali gus meredakan ketidaktentuan dihadapI gergasi industri automotif seperti Toyota, Honda dan Nissan.

Langkah itu memuktamadkan satu perjanjian yang diumumkan pada Julai lalu, yang mengenakan levi 15 peratus ke atas hampir semua eksport Jepun ke AS termasuk kenderaan dan produk farmaseutikal.

Menurut Rumah Putih, Tokyo turut bersetuju melabur sebanyak AS$550 bilion (RM2.3 trilion) dalam projek-projek di AS, di samping membuka ekonominya secara berperingkat kepada barangan Washington, termasuk kereta dan beras.

Perjanjian itu tercapai selepas berbulan-bulan rundingan antara kedua-dua negara, susulan pengumuman Trump pada April lalu yang mengenakan tarif menyeluruh ke atas kebanyakan negara di seluruh dunia.

“Akhirnya,” kata Ketua Perunding Perdagangan Jepun, Ryosei Akazawa ringkas dalam bahasa Jepun sambil berkongsi semula pengumuman Rumah Putih mengenai perintah eksekutif itu.

Menurut perintah tersebut, perjanjian itu akan membantu mengurangkan defisit perdagangan dengan Jepun dan memberi perniagaan AS peluang besar.

Rumah Putih berkata, Jepun komited untuk membeli barangan AS bernilai AS$8 billion (RM33.79 billion) setahun, termasuk produk pertanian, baja dan bioetanol.

Selain itu, Tokyo juga bersetuju untuk meningkatkan pembelian beras keluaran AS sebanyak 75 peratus secara berperingkat, satu konsesi yang sebelum ini ditentang Jepun bagi melindungi industri pertaniannya.

Trump menyifatkan perjanjian tersebut sebagai amat besar ketika mengumumkannya pada Julai lalu.

“Ia satu perjanjian hebat untuk semua pihak. Saya selalu katakan ia mesti baik untuk semua pihak. Ini satu perjanjian yang hebat,” katanya pada satu sidang akhbar.

Ekonomi Jepun banyak bergantung kepada penjualan barangan ke luar negara, dengan AS sebagai pasaran eksport terbesar.

Kereta menyumbang kira-kira 20 peratus daripada jumlah eksport negara itu.

Tarif diumumkan Trump yang berkuat kuasa pada Ogos memberi kejutan kepada pasaran global apabila kerajaan dan perniagaan di seluruh dunia menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

Bulan lalu, Toyota memberi amaran kesan tarif AS dijangka menelan kos kira-kira AS$10 billion (RM42.25 billion) tahun ini.

Saham pengeluar kereta Jepun dan pembekal alat ganti meningkat di Tokyo pada Jumaat selepas perintah eksekutif itu ditandatangani.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN