Trump, Jong-un mungkin adakan pertemuan di APEC tahun ini? - Utusan Malaysia

Trump, Jong-un mungkin adakan pertemuan di APEC tahun ini?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan tahun ini berpotensi menjadi pentas pertemuan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara, menurut seorang pegawai Kementerian Luar Korea Selatan.

Hubungan Pyongyang–Washington kekal dingin sejak sidang kemuncak berprofil tinggi antara pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dan Presiden Donald Trump pada 2019 gagal mencapai kata sepakat mengenai pelepasan sekatan dan konsesi nuklear.

Sejak itu, Korea Utara berulang kali mengisytiharkan negaranya sebagai sebuah negara nuklear tidak boleh dipulihkan. Namun, baru-baru ini Jong-un memberi isyarat kesediaan untuk membuka semula dialog dengan Washington.

Pegawai kanan Kementerian Luar Korea Selatan berkata pada Jumaat di New York rundingan sedemikian boleh berlangsung di luar sidang APEC yang dijadual bermula hujung Oktober di Gyeongju.

“Kita tidak boleh menolak kemungkinan itu,” katanya ketika ditanya mengenai prospek pertemuan tersebut.

Trump dijangka menghadiri forum berkenaan. Namun pegawai yang enggan dinamakan itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai lokasi atau bentuk perbincangan berpotensi antara kedua-dua pihak.

Trump dan Jong-un pernah bertemu tiga kali sepanjang penggal pertama Trump, termasuk sekali di Panmunjom, sebuah kampung di zon bebas tentera yang memisahkan Korea Utara dan Korea Selatan.

Namun hubungan kedua-dua pemimpin retak selepas sidang kemuncak di Hanoi pada 2019 gagal, berikutan perselisihan mengenai sejauh mana Pyongyang bersedia membuat konsesi terhadap program nuklearnya.

Pada Ogos lalu, Trump berkata beliau berharap dapat bertemu semula dengan Jong-un, mungkin tahun ini.

Media rasmi Korea Utara pula minggu ini memetik Jong-un sebagai berkata beliau mempunyai kenangan indah bersama Trump dan terbuka kepada rundingan akan datang sekiranya Washington menggugurkan tuntutan supaya Pyongyang melucutkan senjata nuklearnya.

Bulan ini, Jong-un membuat lawatan luar negara yang jarang berlaku apabila muncul bersama Presiden China Xi Jinping dan Presiden Russia Vladimir Putin di perarakan tentera besar-besaran di Beijing.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN