NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi menjadi bahan bualan selepas muncul di perlawanan akhir US Open dengan tangan yang kelihatan disapu alat solek untuk menutup kesan lebam.
Namun, percubaannya dilihat gagal apabila warna solekan pada tangan kanannya tidak sepadan dengan warna kulit di bahagian lengan, sekali gus mengundang sindiran di media sosial.
Trump, 79, disambut dengan sorakan bercampur dengan laungan ‘boo’ ketika ditayangkan di skrin gergasi stadium di kampung halamannya, Queens, pada Ahad.
Foto-foto jarak dekat menunjukkan tangan kanannya kelihatan berbedak tebal dipercayai bagi menyamarkan lebam yang telah mencetuskan spekulasi berbulan-bulan mengenai tahap kesihatannya.
Walaupun pihak Rumah Putih menegaskan tiada apa yang perlu dibimbangkan, desas-desus berterusan mendakwa beliau mungkin memerlukan rawatan melalui suntikan intravena (IV) walaupun hal itu tidak pernah disahkan secara rasmi.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt sebelum ini mendedahkan bahawa Trump didiagnosis dengan Chronic Venous Insufficiency, sejenis penyakit di mana saluran darah gagal menghantar darah ke jantung dengan baik, lalu menyebabkan pembengkakan di bahagian kaki dan tangan.
Kali terakhir Trump hadir ke US Open adalah pada 2015 ketika beliau turut disambut dengan sorakan ‘boo’ ketika menonton perlawanan antara Serena dan Venus Williams.
Ketika lagu kebangsaan dimainkan pada Ahad, beliau sempat memberikan tabik hormat yang disambut dengan sorakan kecil, namun segera tenggelam dengan ‘boo’ yang bergema lebih kuat.
Kemunculannya kali ini juga berlaku selepas timbul khabar angin di media sosial bahawa beliau sudah meninggal dunia kerana tidak muncul di khalayak ramai selama beberapa hari dan jarang memuat naik di platform X.
Teori liar itu semakin hangat selepas sebuah akaun X yang menjejak pesanan piza berhampiran Pentagon melaporkan lonjakan luar biasa hujung minggu lalu, yang sering dikaitkan dengan situasi krisis politik atau ketenteraan.
Namun Trump menafikan semua spekulasi, dengan memuat naik kenyataan ringkas, “Saya tidak pernah rasa lebih sihat daripada sekarang.” -AGENSI










