Trump dakwa India tawar pilihan hapuskan tarif AS - Utusan Malaysia

Trump dakwa India tawar pilihan hapuskan tarif AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa India menawarkan untuk menghapuskan tarif terhadap barangan AS sepenuhnya, namun menyifatkan langkah itu sebagai “terlalu lewat” setelah bertahun-tahun hubungan perdagangan yang disifatkannya tidak adil.

Dalam satu hantaran di platform media sosial miliknya, Truth Social, pada Isnin, Trump mengkritik keras dasar perdagangan India, mendakwa negara itu telah menjalankan urusan perniagaan besar dengan AS tanpa memberi pulangan setimpal.

“Apa yang ramai tidak faham ialah kami hanya melakukan sedikit perniagaan dengan India, sedangkan mereka menjadikan kami pelanggan terbesar mereka.

“Mereka kini menawarkan untuk turunkan tarif kepada sifar, tetapi sudah terlambat. Sepatutnya mereka buat begitu bertahun-tahun lalu,” katanya.

Trump turut menyuarakan kebimbangannya berhubung keputusan New Delhi untuk terus membeli minyak dan kelengkapan ketenteraan dari Rusia, dan mendesak pemimpin India agar lebih banyak membeli produk tenaga serta senjata buatan AS.

“India membeli sebahagian besar minyak dan produk ketenteraan mereka dari Rusia, sangat sedikit dari AS,” katanya.

Setakat ini, kerajaan India belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan terbaharu Trump itu.

Sebelum ini, pentadbiran Trump terkenal dengan dasar perdagangan agresif termasuk pengenaan tarif tinggi terhadap negara-negara asing. Antara tindakan terbarunya adalah pengenaan tarif sehingga 50 peratus ke atas barangan import dari India — salah satu kadar tertinggi yang pernah diumumkan terhadap negara tersebut.

Susulan kritikan tersebut, Menteri Perdagangan dan Industri India, Piyush Goyal menegaskan India tidak akan tunduk kepada tekanan luar dan akan terus mempertahankan kepentingan ekonominya.

“New Delhi tidak akan tunduk atau dilihat lemah dalam hubungan ekonomi dengan mana-mana negara,” tegas Goyal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN