Trump beri amaran kepada syarikat asing selepas penahanan pekerja Korea Selatan - Utusan Malaysia

Trump beri amaran kepada syarikat asing selepas penahanan pekerja Korea Selatan

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Donald Trump memberi amaran kepada syarikat asing supaya mematuhi undang-undang Amerika Syarikat (AS) selepas 300 pekerja Korea Selatan yang didakwa tidak memiliki dokumen sah ditahan di sebuah loji bateri Hyundai-LG di Georgia, selatan AS.

Penahanan tersebut dibuat dalam satu serbuan oleh pihak berkuasa AS pada Khamis, yang merupakan operasi tunggal terbesar setakat ini di bawah kempen antipendatang yang dilancarkan di seluruh negara oleh pentadbiran Trump.

“Mohon hormati undang-undang imigresen negara kami.

“Pelaburan anda dialu-alukan, dan kami menggalakkan anda untuk membawa masuk tenaga pakar secara SAH… Apa yang kami minta sebagai balasan ialah anda menggaji dan melatih pekerja AS,” tulis Trump dalam Truth Social.

Rakaman serbuan menunjukkan para pekerja yang ditahan dalam keadaan bergari dan berantai di pergelangan kaki, sedang dimuatkan ke dalam sebuah bas.

LG Energy Solution memaklumkan 47 pekerjanya telah ditahan melibatkan 46 warganegara Korea Selatan dan seorang warga Indonesia.

Syarikat itu turut menyatakan sekitar 250 daripada mereka yang ditahan dipercayai diambil bekerja oleh kontraktornya, dan kebanyakan adalah warga Korea Selatan.

Korea Selatan, ekonomi keempat terbesar di Asia, merupakan pengeluar utama dalam sektor automotif dan elektronik dengan pelbagai kilang di Amerika Syarikat.

Syarikat-syarikat Korea telah melabur berbilion dolar untuk membina kilang di AS dalam usaha menembusi pasaran Amerika dan mengelak ancaman tarif oleh Trump.

Walaupun memberi amaran kepada pelabur agar mematuhi undang-undang, Trump turut mengakui terdapat kekurangan kemahiran dalam kalangan tenaga kerja domestik.

“ICE bertindak betul kerana mereka berada di sini secara haram.

“Tetapi kita juga perlu mencari penyelesaian supaya kita boleh bawa masuk tenaga tambahan, agar rakyat kita boleh dilatih untuk melaksanakan kerja itu sendiri,” katanya.

Seoul pada Ahad memaklumkan rundingan untuk membebaskan pekerja yang ditahan sudah selesai dan mereka akan segera dibebaskan serta diterbangkan pulang.

“Keutamaan segera sekarang ialah pembebasan pantas pekerja kami daripada LG Energy Solution dan juga dari syarikat rakan kongsi,” kata eksekutif syarikat, Kim Ki-soo, kepada wartawan sebelum menaiki pesawat ke Georgia awal hari itu.

Hyundai pula menyatakan tiada pekerjanya yang termasuk dalam kalangan individu yang ditahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×