GAZA: Hamas pada Ahad menegaskan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, tidak dialu-alukan di Palestin dan menafikan menerima sebarang cadangan gencatan senjata daripada pengantara.
Kenyataan itu dibuat oleh anggota Biro Politik Hamas, Hossam Badran, menerusi saluran Telegram pergerakan tersebut.
Beliau mengulas laporan akhbar Israel Haaretz yang memetik sumber politik Arab, mendakwa pentadbiran Amerika Syarikat (AS) sedang merangka rancangan untuk melantik Blair mengetuai pentadbiran sementara di Gaza.
Badran memberi amaran bahawa mengaitkan sebarang rancangan dengan individu yang tidak dialu-alukan ini (Blair) adalah petanda buruk buat rakyat Palestin.
Beliau menyifatkan Blair sebagai tokoh negatif yang wajar dibawa ke mahkamah antarabangsa atas jenayah yang dilakukannya, khususnya peranan beliau dalam perang ke atas Iraq (2003–2011).
Badran turut melabel Blair sebagai ‘saudara syaitan’ dengan menegaskan bahawa beliau tidak pernah membawa kebaikan kepada perjuangan Palestin, mahupun kepada bangsa Arab atau umat Islam.
“Peranan jenayah dan perosaknya sudah diketahui sejak bertahun-tahun,” katanya.
Beliau menambah, pengurusan hal ehwal Palestin sama ada di Gaza atau Tebing Barat adalah urusan dalaman Palestin yang perlu diputuskan secara nasional, dan tiada pihak serantau atau antarabangsa berhak memaksa cara rakyat Palestin mentadbir. -AGENSI










