Terpaksa henti misi keliling dunia, motosikal dicuri di UK

Terpaksa henti misi keliling dunia, motosikal dicuri di UK

YOGESH Alekari menabung selama beberapa tahun untuk merealisasikan impiannya mengembara ke seluruh dunia dengan menaiki motosikal. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang pengembara dari India terpaksa menghentikan perjalanan epiknya mengelilingi dunia selepas motosikal bersama semua barang peribadi miliknya dicuri ketika berhenti sarapan di Nottingham, United Kingdom.

Yogesh Alekari, 33, yang memulakan pengembaraan dari Mumbai dengan menunggang KTM 390 Adventure, sudah menempuh lebih 24,000 kilometer merentasi Asia, Russia, China dan Eropah sebelum tiba di Britain.

Bekas arkitek yang kini menjadi pencipta kandungan sepenuh masa dengan lebih 180,000 pengikut Instagram itu menabung selama bertahun-tahun untuk merealisasikan impian mengembara dunia.

Perjalanannya sepatutnya diteruskan ke Maghribi, Afrika Selatan dan berakhir di Kenya sebelum kembali ke tanah air.

Namun, pengembaraan tersebut berakhir secara dramatik minggu lalu apabila motosikal hitam, putih dan oren miliknya bersama pasport, komputer riba, telefon simpanan, dua kamera, wang tunai dan pakaian hilang dicuri di Wollaton Park, Nottingham.

Alekari ketika itu dalam perjalanan menuju ke acara penunggang motosikal Overland Event di Oxford.

Dalam hantaran di Instagram, dia meluahkan rasa kecewa terhadap pihak berkuasa yang disifatkan gagal mengawal jenayah kecurian.

“Saya rasa lebih selamat di Mumbai. Saya kehilangan segalanya. Sekarang saya hanya ada topi keledar, telefon bimbit dan seluar tunggangan. Itu sahaja milik saya. Semalam saya bernasib baik mendapat sehelai t-shirt, dan beberapa penunggang motosikal British yang baik hati memberi sedikit wang tunai.

“Saya rasa agak hilang arah kerana tidak mengenali sesiapa di sini. Mujurlah seorang rakan sudi memberikan tempat berteduh dan membantu saya membeli beberapa helai pakaian,” katanya.

Selepas insiden itu, Alekari mendapat perlindungan sementara daripada seorang rakan di Wembley, London Utara. Dia kini berharap untuk mendapatkan semula pasport melalui kedutaan dan masih menaruh harapan agar motosikal kesayangannya ditemui.

“Itulah harapan saya sekarang. Tetapi jika motosikal tidak ditemui dan semuanya kekal hilang, pilihan terakhir saya adalah pulang ke India. Saya berhenti kerja untuk mengembara dua tahun, dan kini semuanya hilang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN