Siapkan kerja sekolah tanpa henti, budak 11 tahun alami sesak nafas, jari bengkok

Siapkan kerja sekolah tanpa henti, budak 11 tahun alami sesak nafas, jari bengkok

DOKTOR merawat seorang kanak-kanak lelaki yang mengalami masalah pernafasan akibat menyiapkan kerja sekolah tanpa henti di Hospital Pusat Changsha di Hunan, China.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUNAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dari wilayah Hunan, China terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami gangguan pernafasan serius dan jari yang membengkok akibat menyiapkan kerja sekolah musim panas tanpa henti selama lebih 14 jam.

Mangsa dikenali sebagai Liangliang, dari bandar Changsha, mula mengulang kaji dan menyiapkan tugasan sekolahnya dari pukul 8 pagi hingga 10 malam pada 26 Ogos lalu tanpa sebarang rehat. 

Tekanan daripada ibu bapanya menyebabkan dia menjadi cemas sehingga mengalami sesak nafas, pening, sakit kepala serta kebas pada anggota badan dan keadaan Liangliang semakin meruncing apabila jarinya mengeras dan membengkok sebelum dibawa ke hospital kira-kira pukul 11 malam (waktu tempatan).

Doktor kemudian mengesahkan kanak-kanak itu mengalami masalah hiperventilasi, iaitu keadaan apabila seseorang bernafas terlalu cepat dan dalam, lazimnya berpunca daripada tekanan emosi. 

Liangliang dipakaikan topeng oksigen serta diajar teknik kawalan pernafasan, sebelum simptom beransur pulih.

Menurut Hospital Pusat Changsha, hanya pada bulan Ogos lalu, lebih 30 remaja dimasukkan ke wad kecemasan pediatrik dengan gejala sama, peningkatan hampir sepuluh kali ganda berbanding bulan lain.

Pakar pediatrik, Zhang Xiaofo menjelaskan keadaan itu boleh membawa maut dalam kes serius dan antara simptom termasuk sesak dada, berdebar, pening, kebas pada bibir, tangan serta kaki, serta boleh menyebabkan kekejangan otot.

“Langkah rawatan segera ialah menenangkan pesakit serta membantu mereka bernafas menggunakan teknik mudah seperti meletakkan beg plastik atau kertas pada mulut untuk mengawal ritma pernafasan,” katanya.

Kes tersebut tular di media sosial negara itu dengan pelbagai reaksi warganet yang menasihati murid sekolah agar tidak menyiapkan kerja rumah pada saat akhir. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN