Selepas Doha, Turkiye jadi sasaran baharu Israel?

Selepas Doha, Turkiye jadi sasaran baharu Israel?

HAKAN FIDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Selepas serangan Israel di Doha, Turkiye kini semakin berwaspada selepas penganalisis pro-Israel mengalihkan tumpuan mereka kepada negara itu, malah meramalkan Ankara bakal menjadi sasaran seterusnya dalam strategi perluasan kuasa rejim Zionis di Asia Barat.

Di Washington, Felo American Enterprise Institute yang berhaluan kanan, Michael Rubin mencadangkan Turkiye mungkin menjadi sasaran terbaharu Israel dan memberi amaran Ankara tidak boleh terlalu bergantung kepada keanggotaan dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk perlindungan.

Di media sosial, ahli akademik dan tokoh politik Israel, Meir Masri turut menulis perkara serupa, mendakwa ‘Hari ini Qatar, esok Turkiye’.

Media pro-Israel sejak beberapa bulan lalu kerap menggambarkan Turkiye sebagai musuh paling berbahaya Israel, malah kehadiran Ankara di Mediterranean timur dilabel sebagai ancaman kepada rejim Zionis terutama penglibatannya dalam usaha membangunkan semula Syria pasca-perang.

Dengan perang Israel di Gaza yang masih berterusan, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan bertindak balas pada Ogos lalu dengan menggantung hubungan perdagangan dan ekonomi dengan Israel.

Mengulas tindakan itu, Felo bukan pemastautin di Atlantic Council, Omer Ozkizilcik bekata, serangan Israel ke atas Qatar yang merupakan sekutu utama Amerika Syarikat (AS) turut menimbulkan keraguan di Ankara mengenai jaminan keselamatan Washington di bawah payung NATO.

“Di Ankara, retorik anti-Turkiye ini dipandang serius. Israel dilihat berusaha menguasai rantau ini dengan sokongan AS. Turkiye sudah lama menyedari ia tidak boleh bergantung pada AS atau NATO untuk kepentingan keselamatan negara sendiri,” jelasnya.

Laksamana bersara Turkiye yang juga pencetus doktrin Blue Homeland, Cem Gurdeniz memberi amaran, persaingan Turkiye-Israel kemungkinan besar akan bermula di Syria sama ada di darat mahupun udara.

Beliau turut menyifatkan kehadiran ketenteraan dan perisikan Israel di Cyprus yang rapat dengan Greece dan Greek Cypriot di bawah naungan AS sebagai strategi kepungan ofensif untuk menyekat pengaruh Turkiye di Mediterranean.

Pengarah Penyelidikan Dasar Luar Badan Pemikir Ankara (SETA), Murat Yesiltas menegaskan, Turkiye mempunyai garis merah yang jelas di Syria dan memberi amaran usaha AS dan Israel untuk ‘membalkanisasikan’ Syria hanya akan menambah keretakan dan konflik etnik di rantau itu.

Israel juga secara terbuka menentang rundingan damai Turkiye dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), bimbang ia akan mengukuhkan pengaruh Ankara di selatan Syria dan melemahkan kawalan kumpulan Kurdish yang disokong Barat.

Israel kini mengekalkan kawalan terhadap wilayah baharu yang diduduki di Syria selatan untuk tempoh tidak terbatas malah, beberapa lokasi yang cuba dibangunkan Turkiye bersama pentadbiran

Damsyik termasuk di wilayah Homs dan lapangan terbang Hama turut dibom rejim itu.

Dengan sokongan Washington yang dilihat hampir tanpa syarat kepada Netanyahu, Ankara akan memperkukuh pertahanan strategik, termasuk sistem peluru berpandu, keupayaan perisikan dan pertahanan udara.

Turkiye juga dijangka mengukuhkan pakatan dengan Qatar, Jordan dan Iraq, di samping mengekalkan saluran diplomasi dengan AS bagi mengelakkan pengasingan strategik sepenuhnya.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN