JAKARTA: Suasana politik di Indonesia kini memasuki fasa tegang apabila gelombang protes rakyat yang tercetus akibat peningkatan kos sara hidup, elaun mewah ahli Parlimen dan keganasan polis mula memberi kesan langsung terhadap keyakinan pelabur dalam ekonomi negara.
Indeks Komposit Jakarta (Jakarta Composite Index) mencatatkan kejatuhan sehingga 3.6 peratus semalam, manakala nilai rupiah merosot ke paras terendah sejak 1 Ogos lalu, mencecah 16,500 rupiah (RM4.25) berbanding dolar Amerika Syarikat.
Kejatuhan ini reaksi segera pasaran terhadap perkembangan protes besar-besaran yang berlaku di beberapa bandar utama, termasuk Jakarta. Walaupun situasi semasa menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur, beberapa penganalisis pasaran menyifatkan kemerosotan itu sebagai bersifat sementara dan lebih dipacu oleh sentimen berbanding asas ekonomi yang lemah.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pendapatan Tetap Asia di Principal Fixed Income, Howe Chung Wan, tekanan jualan yang berlaku adalah tindak balas spontan terhadap perkembangan hujung minggu, dan Indonesia kekal sebagai antara pasaran baru muncul yang paling stabil di rantau ini. Sentimen sama turut dikongsi oleh penganalisis OCBC Bank, Christopher Wong, yang menjangka nilai rupiah akan kembali stabil sebaik ketidaktentuan politik dan sosial reda.
Indonesia melalui Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto, menegaskan kedudukan ekonomi negara kekal kukuh dengan rizab tukaran asing yang mencukupi dan sistem perbankan yang stabil.
Presiden Prabowo Subianto turut memberi jaminan pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya untuk meredakan keadaan dan memastikan siasatan telus terhadap insiden kekerasan semasa protes, termasuk kes kematian seorang penunggang ojek yang dipercayai akibat tindakan keras polis.
Dalam pasaran bon, hasil bon kerajaan 10 tahun Indonesia meningkat sedikit kepada 6.335 peratus, manakala hasil bon 30 tahun hampir tidak berubah, menunjukkan ketahanan asas pasaran kewangan walaupun berlaku ketidaktentuan politik.
Penganalisis turut melihat situasi ini sebagai peluang untuk kerajaan mempercepat reformasi struktur, khususnya dalam aspek perbelanjaan awam dan penciptaan pekerjaan.
Gelombang tunjuk perasaan yang kini memasuki minggu kedua pada asalnya tercetus akibat pendedahan mengenai elaun kediaman ahli Parlimen yang dikatakan mencecah sepuluh kali ganda gaji minimum negara.
Ketika rakyat sedang berdepan tekanan kewangan akibat inflasi, cukai yang meningkat dan pemberhentian kerja, laporan berkenaan mencetuskan kemarahan meluas. Ketegangan memuncak selepas kematian seorang penunggang ojek dalam insiden rusuhan, yang mencetuskan protes ganas termasuk pembakaran bangunan kerajaan dan serangan ke atas kediaman ahli politik.










