'Russia tiada niat serang negara anggota EU atau NATO' - Utusan Malaysia

‘Russia tiada niat serang negara anggota EU atau NATO’

MENTERI Luar Russia, Sergei Lavrov - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK; Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov menegaskan negara itu tidak mempunyai sebarang niat untuk menyerang negara anggota Kesatuan Eropah (EU) atau Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), meskipun ketegangan serantau terus meningkat susulan beberapa insiden pelanggaran ruang udara dan operasi ketenteraan.

Berucap di hadapan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Lavrov menyifatkan tuduhan Russia merancang menyerang NATO atau EU sebagai “provokasi tidak berasas” yang telah dinafikan berulang kali oleh Presiden Vladimir Putin.

“Ancaman terhadap Russia semakin kerap dilaungkan, kononnya kami merancang untuk menyerang NATO dan EU.

“Ini adalah provokasi yang tidak berasas. Presiden kami telah menafikan tuduhan ini secara konsisten. Rusia tidak pernah mempunyai niat seperti itu,” ujar Lavrov.

Namun, beliau memberi amaran sebarang tindakan bermusuhan terhadap Russia akan dibalas dengan tindak balas yang tegas dan segera.

Kenyataan Lavrov hadir ketika kebimbangan di Eropah memuncak, susulan beberapa insiden pelanggaran ruang udara yang didakwa melibatkan pesawat dan dron Russia di Estonia, Poland, Romania dan Latvia.

NATO telah melancarkan misi pertahanan udara sebagai langkah balas, sementara Russia menafikan sebarang penglibatan, sebaliknya menyalahkan gangguan isyarat dari Ukraine sebagai punca insiden tersebut.

Selain isu Eropah, Lavrov turut menyentuh situasi di Asia Barat, mengkritik keras tindakan Israel di Gaza serta rancangan pengilhakan wilayah Tebing Barat.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan memberi amaran ia boleh mencetuskan ketidakstabilan yang lebih besar di rantau tersebut.

Walaupun Russia kini masih terlibat dalam konflik yang berpanjangan di Ukraine, Lavrov menyatakan Moscow kekal terbuka kepada rundingan damai.

Namun, beliau menegaskan sebarang perjanjian damai perlu mengambil kira jaminan keselamatan Russia serta hak masyarakat berbahasa Rusia di wilayah-wilayah yang terlibat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×