COPENHAGEN: Kedutaan Russia di Denmark semalam menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengenai Moscow terlibat dalam penerbangan dron yang memaksa beberapa lapangan terbang di negara itu ditutup minggu ini, sambil menyifatkan insiden tersebut sebagai provokasi yang direka.
“Ia jelas merupakan provokasi yang sengaja dilakukan. Russia menolak mentah-mentah spekulasi tidak masuk akal mengenai penglibatan kami dalam gangguan di lapangan terbang Denmark,” menurut kenyataan kedutaan itu di media sosial.
Polis Denmark mengesahkan beberapa dron dikesan berlegar di ruang udara lapangan terbang Aalborg, Esbjerg, Sonderborg serta pangkalan udara Skrydstrup sebelum beredar dengan sendiri.
Lapangan Terbang Aalborg yang merupakan kedua terbesar selepas Copenhagen terpaksa ditutup selama beberapa jam sebelum dibuka semula.
“Dron itu terbang di kawasan yang sangat luas selama beberapa jam dan tidak dapat ditembak jatuh. Setakat ini, kami juga masih belum menahan pengendalinya,” kata Ketua Polis Wilayah Jutland Utara, Jesper Bojgaard Madsen.
Menurut polis, dron berkenaan dilihat dengan lampu menyala dari tanah, namun jenis serta motif penggunaannya masih belum dapat dipastikan.
Siasatan lanjut sedang dijalankan dengan kerjasama perkhidmatan risikan Denmark dan angkatan tentera negara itu.
Insiden terbaharu ini berlaku hanya beberapa hari selepas polis mengesahkan beberapa dron besar mengganggu Lapangan Terbang Copenhagen sehingga memaksa operasi dihentikan selama beberapa jam.
Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen menyifatkan kejadian itu sebagai serangan paling serius terhadap infrastruktur kritikal Denmark setakat ini.
“Ini sebahagian daripada perkembangan yang kita lihat akhir-akhir ini, melibatkan serangan dron, pencerobohan ruang udara serta serangan siber yang menyasarkan lapangan terbang Eropah,” katanya.
Kejadian berlaku selepas Denmark mengumumkan rancangan membeli senjata jarak jauh buat kali pertama, dengan alasan keperluan mempertahankan diri kerana Russia dianggap sebagai ancaman untuk bertahun-tahun akan datang.
Bagaimanapun, Duta Russia ke Denmark, Vladimir Barbin mengecam langkah itu dengan menyifatkannya sebagai kegilaan semata-mata. – AGENSI










