Russia mahu latih batalion tentera udara China?

Russia mahu latih batalion tentera udara China?

PRESIDEN Russia, Vladimir Putin memeriksa perbarisan tentera China di Beijing pada 3 September lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Hubungan ketenteraan antara Russia dan China kini mencapai tahap baharu, apabila dokumen yang bocor mendedahkan Moscow bersetuju membantu Beijing melatih dan melengkapkan sebuah batalion tentera udara.

Menurut dokumen perjanjian yang dibocorkan oleh kumpulan penggodam Black Moon dan disahkan oleh badan pemikir terkemuka Britain, Royal United Services Institute (RUSI), Russia pada tahun 2023 bersetuju menjual pelbagai peralatan ketenteraan kepada Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA).

Peralatan tersebut termasuk kenderaan serangan, meriam antikereta kebal dan pengangkut berperisai udara.

Perjanjian itu turut memperincikan Russia akan melatih satu batalion askar payung terjun China bagi menggunakan kelengkapan tersebut.

Latihan ini akan dijalankan sebahagiannya di Russia dan selebihnya di tanah China sendiri, melibatkan kemahiran pendaratan, kawalan tembakan dan pergerakan taktikal.

Peralatan yang dijual akan dilengkapi dengan sistem komunikasi dan kawalan buatan China, manakala Russia turut bersetuju memindahkan teknologi penting yang membolehkan China menghasilkan senjata serupa secara domestik.

Penganalisis RUSI, Oleksandr V. Danylyuk dan Jack Watling, menyatakan perjanjian ini akan meningkatkan keupayaan operasi udara China.

Katanya, kemajuan dalam bidang ini boleh memberi China kelebihan strategik dalam usaha menguasai Taiwan, sebuah pulau berpenduduk 23 juta yang dituntut oleh Beijing sebagai wilayahnya.

“Russia melatih pasukan khas China untuk menyusup masuk ke wilayah negara lain secara senyap dan ini membuka pilihan serangan terhadap Taiwan, Filipina dan negara pulau lain di rantau ini,” katanya.

Filipina antara negara yang mempunyai tuntutan bertindih dengan China di Laut China Selatan dan insiden pertembungan antara kapal kedua-dua negara semakin kerap berlaku.

Perjanjian ini dijangka menambah tekanan terhadap negara-negara Asia Tenggara yang sudah pun berhadapan dengan tindakan agresif China di kawasan perairan yang dipertikaikan.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sejauh mana pelaksanaan perjanjian itu sudah berlangsung dan CNN belum mendapatkan maklum balas rasmi daripada Kementerian Pertahanan China serta Russia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×