Remaja 13 tahun ditahan miliki 23 senjata api di Washington - Utusan Malaysia

Remaja 13 tahun ditahan miliki 23 senjata api di Washington

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang digambarkan pihak polis sebagai obses dengan penembak sekolah ditahan selepas pihak berkuasa menemui 23 laras senjata api bersama peluru di rumahnya serta beberapa hantaran media sosial berbaur ancaman bunuh.

Remaja itu yang dituduh atas lima pertuduhan, termasuk empat kesalahan jenayah berat, mengaku tidak bersalah ketika dibicarakan di mahkamah juvana pada Isnin.

Dia ditahan pada hujung minggu lalu di Pierce County, Washington.

Menurut Timbalan Sheriff, Carly Cappetto, senjata api yang ditemui termasuk senapang yang digantung di dinding serta beberapa pistol yang dibiarkan tanpa kawalan.

“Hasil pemeriksaan di biliknya mendapati suspek amat terobsesi dengan penembak sekolah sebelum ini, dengan meniru tingkah laku mereka melalui gambar serta tulisan yang memenuhi ruang bilik. Malah, kelopak peluru yang dirampas turut mengandungi coretan berkaitan penembak sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Cappetto berkata, berdasarkan bukti yang diperoleh, suspek kelihatan sudah bersedia untuk melakukan serangan tembakan besar-besaran, walaupun sasaran sebenar masih tidak diketahui.

“Namun jelas, ia hanya menunggu masa sebelum tragedi berlaku,” katanya.

Ibu bapa remaja terbabit bagaimanapun menegaskan anak mereka tidak pernah berniat mencederakan sesiapa.

Ibunya yang hadir ke mahkamah mendakwa hantaran di media sosial itu hanyalah cubaan untuk kelihatan hebat di mata rakan sebaya, lapor KOMO-TV.

Menurut pihak berkuasa, suspek kali terakhir bersekolah di Franklin Pierce School District pada 2021 dan kini tidak lagi berdaftar di mana-mana sekolah.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN