DOHA: Ketegangan diplomatik meningkat apabila kerajaan Qatar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sudah memberi amaran awal kepada Doha sebelum Israel melancarkan serangan udara terhadap delegasi Hamas di ibu negara itu minggu ini.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Dr Majed Al-Ansari, dalam satu kenyataan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai ‘tidak benar sama sekali’, dan mendedahkan sebarang komunikasi daripada Washington hanya diterima selepas letupan berlaku di kawasan kediaman yang menjadi sasaran serangan.
Penafian itu dibuat susulan kenyataan dari jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt yang mendakwa Trump mengarahkan utusannya, Steve Witkoff untuk memaklumkan kerajaan Qatar lebih awal mengenai operasi ketenteraan Israel di Doha.
Leavitt juga berkata Trump telah berbincang dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, selepas serangan itu, namun tidak mengulas lanjut tentang sebarang tindakan terhadap sekutu rapat AS itu.
Qatar mengutuk keras serangan tersebut sebagai satu “tindakan pengecut” dan satu pelanggaran nyata terhadap kedaulatan negara serta proses damai yang sedang berjalan.
Serangan yang dilancarkan ke kawasan kediaman di Doha itu telah meragut nyawa lima anggota Hamas dan seorang pegawai keselamatan Qatar, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri negara itu.
Hamas dalam kenyataannya mengesahkan serangan tersebut menyasarkan pasukan rundingan mereka yang sedang mengadakan perbincangan tertutup berhubung cadangan baharu Trump bagi mencapai gencatan senjata.
Kumpulan itu turut menuduh pentadbiran AS bersubahat secara langsung dalam serangan tersebut kerana menyokong penuh tindakan ketenteraan Israel.
Insiden ini dijangka memberi tamparan hebat terhadap kredibiliti Qatar sebagai perantara utama dalam rundingan damai Israel-Palestin.
Negara kecil Teluk itu selama ini memainkan peranan penting dalam memediasi perjanjian-perjanjian gencatan senjata, termasuk rundingan yang membawa kepada perjanjian enam minggu pada Januari lalu.










