Gangguan siber buat dunia kacau

Gangguan siber buat dunia kacau

HAMPIR 200 laman web dan perkhidmatan teknologi utama seluruh dunia dilaporkan mengalami gangguan dalam beberapa hari lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Hampir 200 laman web dan perkhidmatan teknologi utama di seluruh dunia dilaporkan mengalami gangguan dalam beberapa hari lalu, sehingga menjejaskan sektor perbankan, penerbangan, komunikasi kerajaan dan perkhidmatan digital.

Insiden terbaharu membabitkan Apple yang mengesahkan gangguan meluas kelmarin, ketika beberapa platform antarabangsa turut berdepan masalah akses susulan siri kegagalan sistem teknologi.

Menurut laman status sistem Apple, perkhidmatan iCloud Account & Sign In mengalami kelembapan atau tidak dapat diakses oleh semua pengguna.

Memuatkan artikel berkaitan…

Urus niaga pembelian melalui AppleCare menerusi peranti turut tergendala sementara, manakala Apple Business, Apple School Manager dan Schoolwork mengalami gangguan yang menjejaskan sebahagian pengguna.

Selain itu, beberapa laman web dan perkhidmatan utama lain turut terjejas termasuk BBC, CNN, Zoom, HSBC Emiriah Arab Bersatu (UAE), Air France-KLM, IKEA, Salesforce dan Gitlab.

Gangguan itu berlaku serentak dengan laporan mengenai serangan siber berniat jahat yang menyasarkan laman web milik beberapa syarikat dan organisasi antarabangsa utama.

Bagaimanapun, Google pada Selasa berkata, pihaknya tidak menemukan bukti gangguan meluas terhadap Gmail meskipun ribuan pengguna melaporkan masalah mengakses atau menerima e-mel.

Laman pemantau gangguan perkhidmatan Downdetector merekodkan lebih 2,800 laporan masalah Gmail setakat tengah hari waktu Timur Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

Siri insiden itu turut meningkatkan persoalan mengenai ketahanan infrastruktur teknologi AS ketika pentadbiran Presiden Donald Trump berdepan beberapa kegagalan sistem berskala besar.

Naib Presiden AS, JD Vance berkata, pentadbiran itu tidak menjangkakan krisis besar, namun perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan bagi mengelakkan kesan paling buruk.

Microsoft sebelum ini mengalami gangguan besar antara 12 hingga 14 November, menjejaskan Outlook, Teams dan beberapa perkhidmatan Microsoft 365 di seluruh dunia akibat pepijat perisian, peningkatan trafik rangkaian serta kapasiti pelayan yang berkurangan.

Pada 13 November, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengarahkan semua penerbangan dihentikan sementara di seluruh negara selepas rangkaian telekomunikasinya mengalami limpahan data ketika kerja naik taraf kabel gentian optik, menyebabkan ribuan penerbangan dibatalkan.

United Airlines turut melaporkan kegagalan sistem teknologi pada Isnin yang menjejaskan peralatan digunakan kru penerbangan, termasuk data berat pesawat, sekali gus menyebabkan kelewatan penerbangan selama kira-kira 30 hingga 90 minit.

Sektor perbankan turut terjejas pada 16 November apabila Chase mengalami masalah perbankan dalam talian akibat pepijat perisian dalam sistem dalaman, selain menjejaskan beberapa transaksi berkaitan di institusi kewangan lain.

Gangguan itu turut dilaporkan melibatkan rangkaian komunikasi dalaman sulit Agensi Keselamatan Negara (NSA), NSANet, pada Selasa, namun pegawai AS berkata, kerja penyelenggaraan berjadual menjadi punca dan keupayaan operasi kritikal kekal berfungsi.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini