MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin menawarkan untuk mengekalkan had bilangan senjata nuklear strategik yang ditetapkan menerusi perjanjian New START 2010, walaupun perjanjian itu bakal tamat pada Februari 2026, dengan syarat Amerika Syarikat (AS) turut melakukan perkara sama.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata cadangan Putin itu kedengaran agak baik, namun Presiden AS, Donald Trump akan memberikan kenyataan rasmi berhubung tawaran tersebut.
Perjanjian New START merupakan satu-satunya pakatan kawalan senjata nuklear strategik yang masih wujud antara kedua-dua kuasa besar tersebut di mana ianya menghadkan setiap pihak kepada 1,550 kepala peledak nuklear strategik dan 700 pelancar termasuk peluru berpandu, kapal selam serta pengebom.
Perjanjian itu sebelum ini dibenarkan dilanjutkan sekali sahaja selama lima tahun, sesuatu yang telah dipersetujui Putin dan bekas Presiden AS, Joe Biden pada 2021.
“Tindakan Russia ini adalah secara sukarela untuk terus mematuhi had numerik utama di bawah Perjanjian New START selama setahun selepas 5 Februari 2026,” kata Putin pada mesyuarat Majlis Keselamatan Russia.
“Selepas itu, berdasarkan analisis situasi semasa, kita akan tentukan sama ada mengekalkan sekatan sukarela ini atau tidak.” Katanya lagi.
Langkah Putin itu sebagai perubahan dasar kerana sebelum ini Moscow menegaskan hanya akan berbincang isu kawalan senjata dengan Washington jika hubungan dua hala bertambah baik, khususnya berhubung konflik Ukraine.
Putin menegaskan cadangan tersebut adalah demi kepentingan global dalam usaha mencegah proliferasi nuklear serta membuka ruang dialog baharu dengan Washington.
“Langkah ini hanya akan berkesan sekiranya AS juga bertindak sama dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keseimbangan kuasa penangkis,” katanya.
Putin kini berdepan tekanan daripada Trump untuk menghentikan perang di Ukraine, yang menjadi antara punca ketegangan paling berbahaya antara Russia dan Barat sejak era Perang Dingin.
Namun, rundingan untuk memperbaharui atau menggantikan perjanjian itu masih belum dimulakan, walaupun Trump sebelum ini menyatakan hasrat mahu merangka perjanjian kawalan senjata nuklear baharu yang turut melibatkan China, bagaimanapun Beijing menolak cadangan tersebut.
Putin turut memberi amaran Russia akan memantau secara dekat aktiviti nuklear dan pertahanan AS, termasuk rancangan memperkukuh sistem pertahanan peluru berpandu dan cadangan meletakkan pemintas peluru berpandu di angkasa lepas.
“Jika langkah-langkah provokatif ini dilaksanakan, ia boleh menjejaskan sepenuhnya usaha kita mengekalkan status quo dalam kerangka START. Russia akan bertindak sewajarnya,” tegas beliau. -AGENSI










