MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin memberi amaran mana-mana pasukan Barat yang dihantar ke Ukraine akan menjadi sasaran ‘sah’ tenteranya, sehari selepas sekutu Kyiv menyatakan komitmen untuk mewujudkan kehadiran tentera jika perjanjian damai tercapai.
Amaran itu dibuat selepas lebih 24 negara, diketuai Perancis dan Britain pada Khamis berikrar untuk menyertai satu pasukan jaminan di darat, laut dan udara bagi memantau sebarang perjanjian menamatkan konflik yang tercetus akibat pencerobohan Russia pada Februari 2022.
“Jika ada tentera yang muncul di sana, khususnya ketika pertempuran sedang berlangsung, kami menganggap mereka akan menjadi sasaran yang sah,” kata Putin di Forum Ekonomi di bandar Vladivostok, timur jauh Russia.
Beliau menambah, penempatan pasukan seperti itu tidak menyumbang kepada keamanan jangka panjang dan berkata, hubungan ketenteraan Ukraine yang semakin erat dengan Barat adalah antara apa yang disebutnya sebagai punca utama konflik tersebut.
Perang selama lebih tiga tahun itu meragut puluhan ribu nyawa, memaksa jutaan penduduk meninggalkan rumah mereka dan memusnahkan sebahagian besar wilayah timur dan selatan Ukraine, menjadikannya konflik paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Kyiv menegaskan, jaminan keselamatan yang disokong oleh tentera Barat amat penting dalam sebarang perjanjian bagi memastikan Russia tidak melancarkan serangan semula pada masa depan.
Sekutu Ukraine tidak mendedahkan butiran khusus pelan itu, termasuk jumlah tentera yang terlibat dan sumbangan setiap negara.
“Kita kini mempunyai 26 negara yang secara rasmi komited manakala beberapa negara lain belum membuat keputusan untuk menghantar pasukan sebagai ‘pasukan jaminan’ di Ukraine, atau berada di darat, laut atau udara,” kata Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Khamis sambil berdiri di sisi Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.
Zelensky turut berterima kasih dan memuji langkah itu.
“Saya rasa hari ini, buat pertama kali dalam tempoh yang lama, ini adalah langkah konkrit yang benar-benar serius,” katanya.
Menurut Macron, pasukan itu tidak akan dikerahkan di garisan hadapan tetapi bertujuan untuk menghalang sebarang pencerobohan besar yang baharu.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaksa kedua-dua pihak membuka rundingan bagi menamatkan konflik itu, namun beberapa pusingan diplomasi sebelum ini gagal menghasilkan apa-apa selain pertukaran tahanan.
Moscow kekal dengan tuntutan kerasnya, termasuk meminta Ukraine menyerahkan lebih banyak wilayah dan menamatkan sokongan Barat sepenuhnya namun, Kyiv menolak tuntutan itu sebagai ultimatum lama.
Putin pada Jumaat berkata, jika satu perjanjian dapat dicapai, tidak ada keperluan untuk kehadiran pasukan tersebut.
“Jika keputusan dicapai yang membawa kepada keamanan jangka panjang, maka saya tidak nampak apa gunanya mereka berada di wilayah Ukraine. Ini kerana jika perjanjian dicapai, jangan sesiapa meragui Russia akan mematuhinya sepenuhnya,” katanya.
Namun, Ukraine dan negara-negara Barat merujuk kepada rekod panjang Russia yang melanggar perjanjian mengenai Ukraine, termasuk Memorandum Budapest 1994.
Perjanjian pasca-Soviet itu menyaksikan Kyiv menyerahkan senjata nuklearnya sebagai pertukaran jaminan Russia bersama penandatangan lain, termasuk AS dan UK akan menghormati kemerdekaan, integriti wilayahnya serta tidak menggunakan kekerasan.
Ukraine serta banyak pemimpin Eropah menuduh Putin hanya berpura-pura menyokong usaha menghentikan serangan sambil membeli masa untuk tenteranya menawan lebih banyak wilayah.
Awal minggu ini, Putin berkata, tenteranya sedang mara di seluruh garisan hadapan di timur dan selatan Ukraine dan beliau akan terus berperang jika perjanjian damai tidak dicapai.
Tahap penglibatan AS dalam kemungkinan pasukan pengaman Barat itu masih tidak menentu, manakala wujud juga perpecahan dalam kalangan pakatan sukarela tersebut.
Canselor Jerman, Friedrich Merz, sebagai contoh, pada Isnin lalu menggesa tekanan lebih kuat, tetapi kekal berhati-hati mengenai skop penglibatan negaranya.-AFP










