PRAGUE: Polis di Republik Czech akhirnya berjaya menahan seorang pemandu misteri kereta lumba seakan Formula 1 yang sering dilihat memecut laju kenderaan itu secara haram di lebuh raya sejak 2019.
Kereta lumba merah dengan hiasan penuh Ferrari itu berjaya dikesan di sebuah kediaman di kampung Buk, kira-kira 60 kilometer (km) barat daya di Prague selepas laporan terbaharu mengenainya diterima polis.
Rakaman video yang muncul pada pagi Ahad menunjukkan kereta berkenaan memandu di lebuh raya D4 dan berhenti untuk mengisi petrol.
Pemandunya, seorang lelaki berusia 51 tahun, ditahan di rumahnya selepas enggan keluar dari kenderaan itu.
Rakaman media tempatan menunjukkan dia duduk di dalam kereta di hadapan garajnya sambil berbalah dengan polis, mendakwa mereka menceroboh harta persendirian.
Lelaki itu yang lengkap memakai sut pelumba merah dan topi keledar akhirnya akur dan bersetuju dibawa ke balai polis untuk siasatan.
Menurut laporan media, dia enggan menjawab sebarang soalan semasa siasatan.
Seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai anaknya mendakwa rumah mereka dikepung berpuluh-puluh kereta polis dan sebuah helikopter, menyifatkannya sebagai tindak balas berlebihan hanya kerana pelanggaran trafik.
Polis pertama kali menghubungi pemandu F1 itu pada 2019 apabila gambar dan video kereta tersebut tular di media sosial.
Pemilik kenderaan ketika itu menafikan pernah memandunya di lebuh raya, dan identitinya kekal tidak dapat dipastikan kerana pemandu sentiasa memakai topi keledar.
Kereta itu sering digelar Formula 1 Ferrari, namun menurut laman auto.cz ia sebenarnya adalah Dallara GP2/08, sebuah kereta lumba dibangunkan pengeluar Itali untuk Siri GP2 yang kini dikenali sebagai Kejuaraan FIA Formula 2.
Pemiliknya kini berdepan denda kerana memandu kenderaan tanpa lampu hadapan dan nombor pendaftaran di lebuh raya dengan lesen memandunya berkemungkinan digantung.-AGENSI










