PM Sepanyol umum langkah henti genosid di Gaza, larang jual beli senjata dengan Israel

PM Sepanyol umum langkah henti genosid di Gaza, larang jual beli senjata dengan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengumumkan sembilan langkah baharu bagi menghentikan genosid di Gaza, termasuk embargo senjata terhadap Israel serta larangan kapal membawa bahan api untuk kegunaan tentera Israel daripada berlabuh di pelabuhan negara itu.

Pengumuman itu memperlihatkan peningkatan ketara kritikan lantang Sepanyol terhadap serangan Israel di Gaza yang tercetus susulan serangan luar biasa Hamas pada 2023.

“Langkah-langkah tersebut bertujuan menghentikan genosid di Gaza, mendakwa pihak yang bertanggungjawab dan menyokong penduduk Palestin,” kata Sanchez dalam satu ucapan televisyen.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, kerajaan berhaluan kiri pimpinannya akan meluluskan dekri bagi memperkukuh secara undang-undang larangan jual beli peralatan ketenteraan dengan Israel, satu dasar yang telah dikuatkuasakan sejak permulaan konflik.

Kapal membawa bahan api untuk tentera Israel akan dihalang daripada menggunakan pelabuhan Sepanyol, dan negara itu juga akan mengambil langkah bagi mengurangkan penghantaran peralatan tentera ke Israel melalui udara.

“Semua individu yang terlibat secara langsung dalam genosid, pelanggaran hak asasi manusia dan jenayah perang di Semenanjung Gaza akan diharamkan daripada memasuki wilayah Sepanyol,” tegasnya.

Katanya, Sepanyol turut akan melarang import produk dari penempatan haram di wilayah Palestin, bagi menghalang pengusiran paksa penduduk Palestin dan menyokong penyelesaian dua negara.

“Perkhidmatan konsular untuk warganegara Sepanyol yang tinggal di penempatan Israel yang haram akan dihadkan kepada bantuan minimum yang diwajibkan undang-undang,” jelasnya.

Sanchez turut mengumumkan projek kerjasama baharu dalam bidang pertanian, keselamatan makanan dan bantuan perubatan bagi menyokong Pihak Berkuasa Palestin, serta tambahan dana kemanusiaan untuk rakyat Palestin.

Sanchez merupakan antara pengkritik paling lantang terhadap perang Israel di Gaza, malah menjadi pemimpin Eropah tertinggi yang merujuk konflik itu sebagai genosid.

Kerajaan berhaluan kiri beliau tahun lalu mengejutkan sekutu Eropah apabila mengiktiraf negara Palestin, langkah yang membangkitkan kemarahan Israel.

Serangan balas Israel setakat ini sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 64,368 rakyat Palestin, majoritinya orang awam, menurut angka Kementerian Kesihatan Gaza yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai boleh dipercayai.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×