PARIS: Parlimen Perancis menyingkirkan kerajaan Perdana Menteri Francois Bayrou selepas hanya sembilan bulan beliau memegang jawatan itu, memaksa Presiden Emmanuel Macron segera mencari pengganti baharu dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Bayrou mengejutkan bukan sahaja pihak lawan, malah sekutunya sendiri apabila beliau memanggil undian keyakinan untuk menamatkan kebuntuan berpanjangan berhubung bajet berjimat cermat yang dicadangkannya, termasuk pemotongan perbelanjaan hampir 44 bilion euro bagi mengurangkan hutang negara.
Dalam undian di Dewan Negara, seramai 364 ahli Parlimen mengundi menolak kepercayaan terhadap kerajaan, manakala hanya 194 menyatakan sokongan.
“Selaras dengan Perkara 50 Perlembagaan, perdana menteri perlu mengemukakan peletakan jawatan kerajaannya,” kata Speaker Yael Braun-Pivet.
Bayrou mencatat sejarah sebagai perdana menteri pertama dalam sejarah moden Perancis yang digulingkan melalui undi tidak percaya oleh kerajaan sendiri.
Dalam satu kenyataan, Istana Presiden Perancis memaklumkan Macron telah mengambil maklum keputusan itu dan akan menamakan perdana menteri baharu dalam beberapa hari lagi, sekaligus menutup spekulasi beliau mungkin mengadakan pilihan raya mengejut.
Macron dijadualkan bertemu Bayrou pada hari Selasa untuk menerima peletakan jawatan kerajaan, menurut kenyataan tersebut.
Bayrou merupakan perdana menteri keenam di bawah pentadbiran Macron sejak 2017, dan yang kelima sejak tahun 2022. Penyingkiran Bayrou memberi tamparan besar kepada Macron, yang kini turut memimpin pelbagai usaha diplomatik berkaitan perang Russia-Ukraine.
Beliau menyifatkan beban hutang negara sebagai sesuatu yang “mengancam nyawa” Perancis, sambil menegaskan kerajaannya telah mencadangkan pelan bagi memastikan negara boleh melepasi gelombang hutang yang sedang menenggelamkannya.











