BANGKOK: Pegawai diraja Thailand menolak permintaan parti pemerintah untuk membubarkan Parlimen, sekali gus membuka jalan kepada satu undian yang bakal memilih Perdana Menteri baharu.
Kekosongan kuasa melanda pejabat tertinggi Thailand sejak Jumaat lalu, apabila Mahkamah Perlembagaan memecat bekas Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra berhubung pelanggaran etika.
Semalam, Gabungan ahli Parlimen pembangkang membuat keputusan menyokong tokoh konservatif, Anutin Charnvirakul yang juga seorang hartawan sektor pembinaan untuk mengambil alih jawatan tersebut, dengan sesi pengundian dijadualkan esok sekitar pukul 10:00 pagi (waktu tempatan).
Ekoran keputusan itu, Parti Pheu Thai pimpinan Paetongtarn yang masih mentadbir sebagai kerajaan sementara cuba membubarkan badan perundangan itu bagi menghalang undian tersebut, dengan mengemukakan permintaan mereka ke istana.
Namun, Perdana Menteri sementara, Phumtham Wechayachai berkata, permohonan itu ditolak kerana terdapat isu perundangan yang dipertikaikan mengenai kuasanya untuk membubarkan Parlimen ketika memegang jawatan sebagai kerajaan sementara.
“Berikutan isu perundangan yang dipertikaikan, Pejabat Majlis Privy telah memaklumkan kepada saya bahawa adalah tidak sesuai untuk membentangkan draf Dekri Diraja kepada Baginda pada masa ini,” jelasnya di laman Facebook.-AFP










