VENICE: Selama lebih 700 tahun, patung singa gangsa yang megah menghiasi Piazza San Marco di Venice telah menjadi simbol kuasa politik dan kebanggaan Republik Venice. Ia bahkan diabadikan pada bendera rasmi republik tersebut.
Namun satu kajian terbaru mendedahkan bahawa ‘Singa Venice’ itu sebenarnya bukan hasil kerja tukang besi Eropah, sebaliknya ditempa hampir 9,650 kilometer jauhnya di Asia, lebih tepat lagi dari kawasan Lembangan Sungai Yangzi di China.
Dengan berat mencecah 3,000 kilogram, patung gangsa itu dipercayai ditempa menggunakan tembaga dari China, kata pasukan penyelidik.
Bentuk asalnya juga dipercayai lebih menyerupai arca penjaga makam China zaman Dinasti Tang, bukan berinspirasikan makhluk mitologi Mesopotamia atau Parsi seperti yang lama dipercayai.
“Venice adalah kota yang penuh misteri, tetapi satu daripadanya kini terungkai. ‘Singa’ St Mark sebenarnya berasal dari China dan dia berjalan melalui Laluan Sutera ,” kata Dr Massimo Vidale dari Universiti Padua.
Meskipun patung ini sangat penting dalam budaya dan sejarah Venice, tiada rekod bertulis mengenai asal usulnya. Namun penemuan baharu ini mencadangkan bahawa ia mungkin dibawa ke Venice dari Khanbaliq (kini Beijing) oleh Niccolò Polo, bapa kepada pengembara terkenal Marco Polo.
“Kita tidak tahu bila patung itu tiba di Venice, siapa yang mengubah suainya, atau bila ia didirikan di atas tiang yang masih boleh dilihat hari ini,” tambah Dr Vidale.
Bagi menyiasat asal usul sebenar patung tersebut, pasukan penyelidik melakukan analisis isotop plumbum terhadap sampel gangsa dari patung itu. Isotop ini membantu mengenal pasti lokasi asal bijih logam yang digunakan dalam pembuatan patung berkenaan.
Hasil analisis menunjukkan bijih tembaga itu berasal dari Lembangan Sungai Yangzi di China sekaligus menjelaskan bahawa ia bukan buatan tempatan seperti yang dipercayai selama ini.
Pemeriksaan visual juga menunjukkan bahawa bahagian tubuh dan postur asal patung itu telah diubah secara drastik, termasuk kemungkinan ia pernah mempunyai tanduk, menjadikannya lebih serupa dengan zhènmùshòu (makhluk penjaga makam) berbanding singa bersayap.-AGENSI










