ISLAMABAD: Pihak berkuasa Pakistan bertungkus-lumus menyelamatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk yang diancam banjir besar susulan limpahan air sungai ke kawasan pedalaman dan kampung, menurut kenyataan pegawai kerajaan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Sejak akhir Jun lalu, Pakistan dilanda pelbagai bentuk bencana berkaitan cuaca ekstrem, termasuk limpahan air sungai dan tasik glasier, banjir di kawasan bandar, tanah runtuh akibat hujan monsun serta hujan lebat luar biasa. Menurut agensi bencana PBB, sekurang-kurangnya 928 nyawa telah terkorban akibat bencana tersebut setakat ini.
Hampir enam juta orang dilaporkan terjejas, dengan kawasan yang paling teruk dilanda termasuk wilayah Himalaya di utara, kawasan pergunungan barat laut serta dataran tengah negara itu.
Di wilayah Punjab, banjir turut menenggelamkan bangunan penting termasuk sebuah masjid, manakala penduduk di beberapa kawasan dilihat meredah air sambil membawa bekalan makanan ke tempat perlindungan sementara.
Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memberi amaran bahawa kira-kira 1.6 juta lagi penduduk berisiko tinggi terjejas, khususnya di wilayah Sindh di selatan Pakistan, berikutan paras air sungai yang terus meningkat.
Ketua Menteri Sindh, Murad Shah, berkata pihak berkuasa negeri telah memindahkan sekitar 200,000 orang dari kawasan berhampiran sungai dan bersedia untuk menyelamatkan lebih ramai lagi jika keadaan terus memburuk.
Sementara itu, pasukan penyelamat dan tentera yang dibantu dengan bot serta helikopter telah memindahkan lebih dua juta orang di wilayah Punjab sahaja, termasuk hampir 300,000 orang dalam tempoh dua hari terakhir, menurut agensi bantuan tersebut.
Di bandar pelabuhan utama Karachi, sekolah-sekolah terpaksa ditutup dan jalan-jalan lengang selepas hujan lebat semalaman menyebabkan hampir keseluruhan bandar itu dinaiki air, sekali gus melumpuhkan aktiviti harian penduduk.
Musim monsun yang biasanya membawa hujan dari Julai hingga September di Asia Selatan kini semakin tidak menentu dan lebih merosakkan, kesan langsung daripada perubahan iklim global. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pola cuaca ekstrem telah mengakibatkan ribuan kematian dan menjejaskan jutaan nyawa di seluruh rantau.
Tahun 2022 menyaksikan lebih 2,000 kematian di Pakistan akibat banjir besar dan wabak penyakit yang menular selepas bencana, menjadikan ia antara krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarah moden negara itu.










