New Zealand dikecam hebat kerana enggan iktiraf Palestin - Utusan Malaysia

New Zealand dikecam hebat kerana enggan iktiraf Palestin

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: Keputusan New Zealand untuk tidak mengiktiraf Palestin pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-80 mengundang kecaman, termasuk daripada bekas Perdana Menteri Helen Clark yang menyifatkannya sebagai ‘Hari Memalukan’ buat negaranya, lapor Anadolu.

“Ini adalah hari memalukan bagi #NZ. Dalam slot lewat di penghujung segmen peringkat tinggi Perhimpunan Agung PBB, Menteri Luar mendedahkan keputusan Kabinet 11 hari lalu, bahawa berbeza dengan banyak negara lain yang biasanya sehaluan dengan #NZ, kerajaan tidak akan mengiktiraf #Palestin,” tulis Clark di platform media sosial X.

Clark menyifatkan keputusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Christopher Luxon itu sebagai tidak dapat difahami.

Pada Jumaat, Menteri Luar Winston Peters memberitahu sidang PBB Wellington belum bersedia untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

“Kerajaan New Zealand percaya ia hanya mempunyai satu peluang untuk mengiktiraf kenegaraan Palestin, dan ia lebih sesuai dilakukan apabila wujud prospek lebih baik untuk keamanan dan rundingan berbanding keadaan sekarang,” katanya.

Peters menegaskan bantuan kemanusiaan mesti disalurkan ke Gaza dan keganasan perlu dihentikan. Beliau turut mengumumkan sumbangan kewangan tambahan bagi menangani krisis kemanusiaan di wilayah itu.

Tindakan kerajaan turut dikecam pemimpin Parti Hijau, Chloe Swarbrick yang menegaskan New Zealand sepatutnya bersama negara lain yang sehaluan dalam mengiktiraf Palestin di PBB.

“Saya tahu ramai rakyat New Zealand sangat marah dengan tindakan kerajaan Luxon di pentas dunia, menolak pengiktirafan negara Palestin atau enggan mengenakan sekatan ke atas Israel,” katanya menerusi video di Facebook.

Swarbrick turut mengecam sikap kerajaan kerana mengiktiraf Israel sambil menutup mata terhadap tindakan rejim itu.

“Anda tidak boleh berpura-pura menyokong penyelesaian dua negara sedangkan hanya mengiktiraf satu pihak iaitu yang sedang melakukan pembunuhan beramai-ramai,” ujarnya.

Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh lebih 65,000 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Serangan udara dan darat selama berbulan-bulan menjadikan wilayah itu hampir tidak dapat didiami, memaksa penduduk hidup dalam pelarian, kebuluran dan penyakit. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN