KATHMANDU: Kerajaan Nepal secara rasmi menamatkan larangan terhadap media sosial pada Selasa, sehari selepas 19 orang terbunuh dalam protes besar-besaran oleh golongan belia yang menuntut kebebasan digital dan tindakan tegas terhadap rasuah dalam kerajaan.
Semua aplikasi media sosial utama kembali berfungsi, menurut laporan wartawan AFP di ibu negara Kathmandu, setelah kerajaan mengumumkan siasatan terhadap insiden keganasan yang menyaksikan tindakan keras polis paling berdarah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menteri Komunikasi, Prithvi Subba Gurung mengesahkan pembukaan semula platform seperti Facebook, YouTube dan X, yang katanya merupakan antara tuntutan utama generasi muda yang dikenali sebagai Gen Z. “Kami bersedia untuk berbincang dengan para penunjuk perasaan,” katanya kepada AFP.
Namun suasana masih tegang di beberapa bandar. Meskipun perintah berkurung dilaksanakan pada awal pagi, kumpulan penunjuk perasaan tetap turun ke jalan, membakar tayar dan melaungkan slogan menuntut keadilan serta pertanggungjawaban daripada pihak berkuasa. Beberapa bangunan kerajaan dan harta milik ahli politik turut menjadi sasaran kemarahan rakyat.
Larangan media sosial bermula pada Jumaat lalu apabila kerajaan memutuskan untuk menyekat akses kepada 26 platform yang tidak berdaftar. Tindakan itu mencetuskan kemarahan meluas, khususnya dalam kalangan golongan muda yang bergantung kepada media sosial untuk komunikasi, hiburan dan perniagaan harian.
Menurut Amnesty International, peluru hidup digunakan terhadap penunjuk perasaan.
Seorang saksi yang berada di Hospital Awam semasa insiden berlaku menyifatkan suasana ketika itu sebagai amat mengerikan.
“Gas pemedih mata turut masuk ke kawasan hospital, menyukarkan kerja doktor,” kata Ranjana Nepal, pegawai maklumat hospital tersebut.
Dalam surat rasmi yang dikeluarkan selepas mesyuarat kabinet tergempar, Perdana Menteri KP Sharma Oli menyatakan beliau bersedih dengan kehilangan nyawa yang berlaku.
Beliau menafikan kerajaan berniat untuk menyekat media sosial secara kekal dan menegaskan komitmen untuk menyediakan persekitaran penggunaan digital yang bebas.
Keganasan memuncak apabila para penunjuk perasaan melanggar kawat berduri dan cuba memasuki kawasan larangan berhampiran parlimen pada Isnin.
Polis mengesahkan bahawa 17 orang terbunuh di Kathmandu manakala dua lagi maut di daerah Sunsari di timur negara itu. Kira-kira 400 orang cedera termasuk lebih 100 anggota polis.
Aplikasi seperti Instagram, YouTube dan X telah menjadi nadi kepada kehidupan digital berjuta-juta rakyat Nepal, bukan hanya sebagai hiburan tetapi juga sebagai sumber maklumat dan punca pendapatan.
Nepal sebelum ini pernah menyekat akses kepada platform seperti Telegram atas alasan peningkatan penipuan dalam talian. Tahun lalu, kerajaan juga menamatkan larangan sembilan bulan terhadap TikTok selepas platform tersebut bersetuju untuk mematuhi peraturan tempatan.










