KATHMANDU: Nepal mengenakan larangan perjalanan terhadap bekas Perdana Menteri, KP Sharma Oli dan empat bekas pegawai kanan bagi membantu siasatan berhubung keganasan protes yang meragut nyawa lebih 70 orang awal bulan ini.
Protes yang digerakkan anak muda sejak 8 September berpunca daripada larangan media sosial sementara, tekanan ekonomi dan isu rasuah, dengan pantas bertukar menjadi rusuhan besar selepas tindakan keras pihak berkuasa mencetus pertumpahan darah.
Dalam tempoh dua hari rusuhan, sekurang-kurangnya 73 orang terkorban, bangunan Parlimen dan pejabat kerajaan dibakar yang akhirnya menyaksikan kerajaan pimpinan Oli tumbang.
Selain Oli, larangan perjalanan turut dikenakan terhadap bekas Menteri Dalam Negeri, Ramesh Lekhak, bekas Ketua Agensi Keselamatan Jabatan Penyiasatan Negara, Hutaraj Thapa, serta dua lagi birokrat kanan.
Perdana Menteri interim, Sushila Karki, yang kini memimpin negara Himalaya itu sehingga pilihan raya pada Mac 2026, menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat keganasan tersebut.
Sekatan itu dicadangkan pada Ahad oleh suruhanjaya berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Om Prakash Aryal memaklumkan larangan tersebut sudah berkuat kuasa.
Anggota suruhanjaya, Bigyan Raj Sharm dalam kenyataan pada Ahad berkata, kelima-lima individu itu perlu mendapatkan kebenaran untuk keluar dari Lembah Kathmandu kerana mereka mungkin perlu hadir bagi tujuan siasatan pada bila-bila masa.
Persekutuan Dewan Perdagangan dan Industri Nepal (FNCCI) menganggarkan sektor swasta, termasuk industri automotif, hotel dan peruncitan mengalami kerugian bernilai AS$600 juta (RM2.5 bilion).
Oli menyalahkan ‘penyusup’ kerana mencetuskan pertumpahan darah itu dan mendakwa senapang yang digunakan dalam protes tersebut diperoleh daripada sumber lain.-AFP










