Letupan lori tangki di Mexico ragut tiga nyawa, lebih 70 cedera - Utusan Malaysia

Letupan lori tangki di Mexico ragut tiga nyawa, lebih 70 cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya tiga maut manakala lebih 70 lagi cedera selepas sebuah lori gas meletup di lebuh raya utama berhampiran Mexico City pada Rabu, menurut Datuk Bandar Clara Brugada.

Letupan kuat itu berlaku apabila lori yang membawa sekitar 49,500 liter gas, dikenali sebagai “pipas” di Mexico terbabas dan terbalik berhampiran kawasan Puente de la Concordia, di sempadan antara daerah Iztapalapa dan Chalco.

Akibat letupan tersebut, sebanyak 18 kenderaan yang berada berdekatan terbakar, manakala asap tebal dan api besar menjulang ke udara, mencetuskan suasana panik di lokasi kejadian.

Daripada jumlah mangsa yang cedera, 19 mengalami luka melecur serius dan telah dikejarkan ke hospital di sekitar bandar. Rakaman video yang tular memaparkan detik cemas ketika orang ramai bertempiaran lari, sementara pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengawal kebakaran dan membantu mangsa.

Punca kemalangan masih dalam siasatan, termasuk kemungkinan kecuaian atau masalah teknikal yang melibatkan pemandu lori. Laluan lebuh raya yang terjejas telah ditutup sementara bagi tujuan keselamatan dan operasi pembersihan.

Insiden ini turut mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan pengangkutan bahan mudah terbakar di kawasan bandar yang padat. Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar terus berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan sepanjang tempoh pemulihan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN