YORKSHIRE: Sebuah keluarga berdepan kesedihan berganda apabila seorang bapa meninggal dunia secara mengejut ketika membawa masuk keranda anak lelakinya ke gereja semasa majlis pengebumian.
Norman White, 61, atau dikenali sebagai Nosha rebah akibat serangan jantung ketika mengusung keranda anaknya, David Bellicki, 41, di St Bede’s Chapel, Teesside Crematorium, pada 21 Ogos lalu.
David meninggal dunia tiga minggu sebelumnya selepas ditemui tidak bernyawa di sofa rumah saudaranya pada 31 Julai.
Menurut adiknya, Chantelle, David pernah bergelut dengan ketagihan dadah tetapi berusaha keras untuk pulih.
“Dia menunjukkan kemajuan memberangsangkan, kami sekeluarga sentiasa menyokongnya,” katanya kepada Teesside Live.
Namun, sebaik majlis perpisahan dimulakan, Norman tiba-tiba rebah di luar bangunan ketika mengusung keranda anaknya.
Pasukan perubatan kecemasan segera dipanggil dan dia dikejarkan ke hospital, tetapi akhirnya disahkan meninggal dunia.
“Kami semua sudah duduk di dalam, saya tertanya-tanya ke mana ayah pergi. Tiba-tiba seorang tetamu bergegas masuk memberitahu ayah rebah di luar.
“Kejadian ini seperti adegan dalam filem. David pergi pada ulang tahun kematian anak kembarnya, dan ayah pula menyusul ketika majlis pengebumian David. Ia terlalu menyakitkan,” luah Chantelle.
Keluarga yang masih terkejut menyifatkan peristiwa tragis itu sebagai sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka.
Dua kehilangan besar dalam satu hari, meninggalkan kesan mendalam buat tujuh orang anak Norman serta seluruh keluarganya.










