Lawatan Duta AS ke Israel, Mesir untuk bincang isu perang Gaza ditangguh

Lawatan Duta AS ke Israel, Mesir untuk bincang isu perang Gaza ditangguh

PENDUDUK Palestin menyaksikan dari jauh serangan Israel di Jalan Al-Nassr di Gaza, Palestin pada 12 September 2025. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Lawatan Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Israel, Mike Huckabee ke Mesir ditangguhkan, menurut seorang pegawai AS kepada AFP pada Ahad.

Sebelum ini, jurucakap Kedutaan AS memaklumkan Huckabee dijadualkan ke Kaherah untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai Mesir.

“Lawatan itu telah ditangguhkan,” kata pegawai berkenaan tanpa mengulas lanjut. Lawatan tersebut dilaporkan media sebagai kunjungan jarang dilakukan oleh seorang duta AS yang sedang berkhidmat.

Menurut laporan media, rundingan dijangka tertumpu kepada perang di Gaza yang menjejaskan hubungan antara Israel dan Kaherah.

Mesir, bersama AS dan Qatar sedang menjadi perantara antara Israel dan Hamas dalam usaha menamatkan konflik. Kaherah sebelum ini lantang mengkritik serangan udara dan darat Israel di Gaza City, yang menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menempatkan sekitar sejuta penduduk sebelum serangan bermula.

Sejak perang meletus pada Oktober 2023, Mesir berulang kali memberi amaran pertempuran berisiko mendorong ratusan ribu rakyat Palestin melintasi sempadan ke Semenanjung Sinai.

Media Israel turut melaporkan kebimbangan Tel Aviv mengenai peningkatan kehadiran ketenteraan Mesir di Sinai, walaupun Kaherah menegaskan penempatan tentera itu hanya bertujuan mempertahankan sempadannya.

Huckabee dilantik sebagai duta AS ke Israel oleh Presiden Donald Trump sejurus selepas beliau menang pilihan raya pada November lalu.

Awal minggu ini, Trump mendedahkan pelan baharu bagi menamatkan perang Gaza dalam rundingan bersama pemimpin Arab dan Islam. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN