Lapan negara Arab, Islam sokong pelan damai Trump di Gaza - Utusan Malaysia

Lapan negara Arab, Islam sokong pelan damai Trump di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Lapan menteri luar dari negara Islam dan Arab menyuarakan sokongan terhadap usaha Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menamatkan peperangan di Gaza dan menyatakan keyakinan mereka terhadap kemampuannya untuk membawa keamanan di rantau Asia Barat.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Isnin, Arab Saudi, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Pakistan, Turkiye, Qatar dan Mesir menyambut baik usaha ikhlas Trump dan menegaskan kepentingan kerjasama dengan Amerika Syarikat dalam menjamin keamanan serantau.

“Mereka menekankan kepentingan perkongsian dengan AS dalam usaha mewujudkan keamanan di rantau ini,” kata kenyataan bersama yang dibacakan oleh para menteri luar terbabit.

Para diplomat tinggi dari negara-negara itu turut memberikan perhatian khusus kepada pelan damai 21 perkara yang dibentangkan Trump, yang merangkumi penamatan perang, pembinaan semula Gaza, pencegahan pemindahan paksa rakyat Palestin dan pelancaran semula proses damai secara menyeluruh.

Mereka juga memuji pengumuman Trump minggu lalu apabila beliau tidak akan membenarkan Israel mengilhakkan Tebing Barat, satu tindakan yang disifatkan mampu mencetuskan ketegangan lebih besar di rantau itu.

“Menteri-menteri luar menegaskan kesediaan mereka untuk terlibat secara positif dan membina bersama Amerika Syarikat serta semua pihak berkepentingan dalam memuktamadkan perjanjian ini dan memastikan pelaksanaannya,” kata kenyataan itu lagi.

Mereka menyatakan komitmen bersama untuk bekerjasama menamatkan peperangan di Gaza melalui satu penyelesaian menyeluruh yang menjamin:

  • penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa sekatan ke Gaza,
  • tiada pemindahan atau pengusiran rakyat Palestin,
  • pembebasan semua tebusan,
  • mekanisme keselamatan yang menjamin keselamatan semua pihak,
  • pengunduran penuh tentera Israel, dan
  • pembinaan semula Gaza serta jalan ke arah keamanan yang adil melalui penyelesaian dua negara.

Kenyataan itu menegaskan penyatuan Gaza dan Tebing Barat dalam satu negara Palestin yang merdeka, selaras dengan undang-undang antarabangsa, adalah kunci kepada kestabilan dan keselamatan jangka panjang di rantau Asia Barat.

Pemerhati antarabangsa menyifatkan kenyataan bersama ini sebagai satu perkembangan penting, menunjukkan konsensus luar biasa dalam kalangan dunia Islam untuk menyokong pelan damai yang diselaraskan Washington.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN