EDINBURGH: Para saintis mendedahkan sebuah planet bersaiz bumi yang terletak hanya 40 tahun cahaya dari bumi berpotensi menjadi rumah kepada kehidupan asing.
Planet tersebut dikenali sebagai TRAPPIST-1e, mengorbit bintangnya dalam kawasan yang dipanggil Zon Goldilocks iaitu zon yang membolehkan kewujudan air dalam bentuk cecair di permukaan, berkemungkinan sebagai lautan global.
Namun, keadaan itu hanya boleh berlaku sekiranya planet tersebut mempunyai atmosfera untuk mengekalkan kestabilan suhunya.
Menerusi data baharu daripada Teleskop Angkasa James Webb (JWST), ahli astronomi kini menunjukkan bahawa kemungkinan tersebut wujud.
Instrumen NIRSpec (Near-Infrared Spectrograph) JWST digunakan ketika planet itu melintasi bintangnya. Jika terdapat atmosfera, cahaya bintang yang menembusi akan diserap oleh gas tertentu mengikut komposisi kimianya.
“Kami melihat dua kemungkinan penjelasan. Yang paling menarik ialah TRAPPIST-1e mungkin mempunyai atmosfera sekunder, yang mengandungi gas berat seperti nitrogen,” kata pengkaji bersama, Dr Ryan MacDonald dari University of St Andrews.
TRAPPIST-1 ialah sejenis bintang merah (M dwarf) yang sangat kecil dan sejuk, dengan diameter hanya sekitar 84,180 kilometer dan suhu permukaan kurang daripada separuh suhu Matahari.
Daripada tiga planet yang berada dalam zon boleh didiami, TRAPPIST-1e iaitu planet keempat dari bintang induknya dilihat sebagai calon paling berpotensi untuk menyokong kehidupan.
Dengan jisim sekitar 0.692 kali ganda bumi, TRAPPIST-1e sedikit lebih kecil daripada planet kita. Ia juga mengorbit sangat hampir dengan bintangnya, iaitu sekitar tiga peratus jarak antara bumi dan matahari, dan melengkapkan satu orbit setiap enam perpuluhan satu hari bumi.
Walaupun begitu, disebabkan suhu permukaan TRAPPIST-1 yang rendah, ahli astronomi berpendapat planet ini mungkin mempunyai lautan air cecair yang luas di permukaan selain kawasan ais beku. – AGENSI










