SEOUL: Korea Selatan merancang menghantar sebuah pesawat sewaan seawal Rabu ini bagi membawa pulang ratusan pekerja yang ditahan dalam satu serbuan imigresen Amerika Syarikat (AS), menurut syarikat penerbangan negara itu, Korean Air.
Pihak berkuasa imigresen AS menahan kira-kira 475 individu, termasuk ratusan pekerja Korea Selatan dalam satu serbuan besar-besaran pada Khamis lalu di sebuah kilang bateri Hyundai-LG yang sedang dibina di Georgia, selatan AS.
Pihak berkuasa AS menyifatkan ia sebagai serbuan terbesar di satu lokasi setakat ini di bawah kempen membanteras pendatang asing secara menyeluruh oleh Presiden, Donald Trump.
Menteri Luar Korea Selatan, Cho Hyun berlepas ke Washington semalam untuk rundingan lanjut, menyifatkan penahanan besar-besaran rakyatnya itu sebagai situasi serius dan berikrar untuk memastikan kesemua mereka dihantar pulang dalam keadaan sihat.
Korean Air berkata, pihaknya menyasarkan untuk menghantar pesawat Boeing 747-8i sewaan ke Atlanta seawal Rabu ini.
“Itu adalah sasaran kami setakat ini,” kata seorang jurucakap Korean Air kepada AFP pada Selasa.
Seoul sebelum ini memaklumkan perjanjian bagi membebaskan dan menghantar pulang pekerja yang ditahan sudah dimuktamadkan dengan pihak AS dan pesawat sewaan akan berlepas sebaik sahaja prosedur pentadbiran selesai.
Selain menjadi sekutu keselamatan utama di Lingkaran Pasifik, Korea Selatan juga merupakan ekonomi keempat terbesar di Asia serta pengeluar utama automotif dan elektronik dengan pelbagai kilang di AS.
Seoul selama ini mematuhi gesaan berulang kali Washington untuk meningkatkan pelaburan global di AS dalam rundingan tarif dengan negara-negara lain di seluruh dunia.
Tapak serbuan tersebut ialah projek usaha sama bernilai AS$4.3 billion (RM18.11 billion) antara dua firma Korea Selatan, Hyundai dan LG Energy Solution untuk membina kilang pengeluaran sel bateri di Georgia.
Pakar berkata, majoriti pekerja Korea Selatan yang ditahan berkemungkinan memegang visa yang tidak membenarkan mereka melakukan kerja pembinaan secara langsung.
Trump pada Ahad memberi amaran kepada syarikat asing supaya mematuhi undang-undang AS selepas serbuan itu.
“Pelaburan anda dialu-alukan, dan kami menggalakkan anda membawa tenaga pakar secara SAH,” katanya di media sosial.
LG Energy Solution berkata, 47 pekerjanya ditahan melibatkan 46 warga Korea Selatan dan seorang warga Indonesia.
Syarikat itu turut menyatakan kira-kira 250 daripada mereka yang ditahan dipercayai bekerja dengan kontraktornya dan kebanyakan mereka adalah warga Korea Selatan.
Hyundai pula memaklumkan tiada pekerjanya yang termasuk dalam senarai tahanan.-AFP










