KABUL: Pemerintah Taliban di Afghanistan merayu bantuan antarabangsa selepas gempa bumi kuat mengorbankan ratusan nyawa dan memusnahkan seluruh perkampungan di negara itu, sekali gus menambah penderitaan penduduk yang sudah lama berdepan kekurangan makanan dan pemotongan dana asing.
Sekurang-kurangnya 1,411 orang terkorban manakala 3,124 lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda beberapa bandar dan kampung berhampiran sempadan Pakistan pada Ahad lalu.
Menurut jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid, lebih 5,400 buah rumah turut musnah dalam bencana tersebut.
Usaha menyampaikan bantuan ke kawasan pergunungan yang paling teruk terjejas berdepan kesukaran akibat hujan lebat, tanah runtuh dan jalan raya yang rosak.
Keadaan bertambah buruk apabila satu lagi gempa susulan berukuran 5.2 magnitud menggegarkan kawasan timur laut Jalalabad, di wilayah Nangarhar pada petang Selasa.
Seorang wartawan Reuters yang tiba di kawasan itu sebelum gegaran susulan berlaku berkata, hampir setiap rumah mengalami kerosakan atau musnah dan penduduk masih menggali runtuhan untuk mencari mangsa yang terselamat.
“Sebahagian rumah yang hanya rosak separuh turut roboh sepenuhnya selepas gempa kedua,” katanya.
Setakat ini, Britain memperuntukkan 1 juta pound (RM5.6 juta) untuk menyokong usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Palang Merah Antarabangsa di negara itu.
India pula menghantar 1,000 khemah dan memindahkan 15 tan bekalan makanan ke Kunar, dengan lebih banyak bantuan dijangka menyusul hujung minggu ini.
Beberapa negara lain termasuk China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kesatuan Eropah (EU), Pakistan dan Ira berikrar untuk menghantar bantuan, namun ia masih belum tiba di lokasi bencana.









