BANGKOK: Kerajaan sementara Thailand pada Rabu mengumumkan langkah untuk membubarkan Parlimen, selepas parti pembangkang terbesar menyatakan sokongan kepada calon perdana menteri yang menjadi saingan mereka.
Keputusan itu yang berpotensi mencetuskan perdebatan undang-undang boleh membawa kepada pilihan raya baharu sebelum akhir tahun ini, hanya dua tahun selepas pilihan raya terakhir pada Mei 2023.
Kekosongan kuasa melanda Pejabat Perdana Menteri sejak Jumaat lalu apabila Paetongtarn Shinawatra digugurkan oleh Mahkamah Perlembagaan kerana melanggar etika.
Parti Pheu Thai yang masih memerintah secara sementara sebelum ini cuba mendapatkan sokongan parti pembangkang berpengaruh, Parti Rakyat, untuk menyokong calon Perdana Menteri baharu mereka.
Namun, Parti Rakyat sebaliknya mengumumkan sokongan kepada tokoh konservatif dan ahli perniagaan, Anutin Charnvirakul.
Tidak lama selepas keputusan itu diumumkan, Setiausaha Agung Pheu Thai, Sorawong Thienthong memberitahu AFP, Pemangku Perdana Menteri, Phumtham Wechayachai, bertindak menyerahkan dekri pembubaran Parlimen.
Persoalan sama ada kerajaan sementara mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen menjadi isu hangat perbincangan.
Namun, menurut perlembagaan Thailand, jika Raja memperkenankan pembubaran Parlimen, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 45 hingga 60 hari selepas itu.
“Besar kemungkinan pilihan raya akan berlangsung dalam beberapa bulan akan datang. Pilihan raya mungkin jalan terbaik untuk negara, kerana sekarang hampir mustahil membentuk kerajaan yang stabil,” kata penganalisis politik dari Universiti Ubon Ratchathani, Titipol Phakdeewanich.-AFP










