Kampung di Croatia hasilkan susunan strudel terpanjang dunia

Kampung di Croatia hasilkan susunan strudel terpanjang dunia

PENDUDUK menyusun strudel untuk mencipta rekod dunia di kampung Jaskovo, Croatia. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAŠKOVO: Sebuah kampung kecil di Croatia kembali mencatat sejarah apabila memecahkan rekod dunia dengan menghasilkan hampir 9,000 strudel yang disusun sepanjang lebih 3 kilometer (km).

Penganjur berkata, penyediaan pencapaian luar biasa itu menggunakan dua tan tepung dan tiga tan epal, sebelum strudel-strudel tersebut disusun sepanjang jalan di kampung Jaškovo.

“Selepas proses pengesahan yang sangat teliti, saya boleh mengumumkan jumlah keseluruhan ialah 8,940 strudel, sekali gus melakar rekod dunia baharu,” kata Paulina Sapinska, pegawai pengesah Rekod Dunia Guinness.

Rangkaian pastri itu diukur sepanjang 3,136 meter, mengatasi rekod terdahulu yang dipegang oleh bandar Sisak pada 2019 dengan 1,762 meter (hampir 6,000 strudel).

Kampung Jaškovo, yang terletak 66km barat daya Zagreb sebelum ini pernah mencatat rekod dunia pada sedekad lalu dengan rangkaian strudel sepanjang 1,479 meter.

Namun, rekod itu dirampas oleh Sisak sebelum kembali direbut pada hujung minggu ini.

“Strudel adalah simbol yang berkait rapat dengan tradisi tempatan,” kata Datuk Bandar Wilayah, Martina Furdek Hajdin, sambil menambah acara sebegini mampu merancakkan pembangunan kawasan luar bandar.

Rekod baharu itu dicapai sempena Strudelfest, festival tahunan di Jaškovo, apabila penduduk kampung dan sukarelawan berganding bahu menyiapkan hidangan berasaskan resipi tradisi serantau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×