SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menyatakan kesediaan mengadakan semula rundingan dengan Amerika Syarikat (AS), tetapi hanya jika Washington menghentikan tuntutan Pyongyang melucutkan senjata nuklearnya.
Dalam satu ucapan yang disampaikan kepada parlimen Korea Utara, Jong-un mengimbas kenangannya bersama bekas Presiden AS, Donald Trump, yang pernah bertemu dengannya sebanyak tiga kali dalam sidang kemuncak berprofil tinggi sebelum rundingan tersebut gagal di Hanoi pada 2019.
“Sekiranya AS meninggalkan obsesi delusinya terhadap dinuklearisasi dan benar-benar ingin wujud bersama kami secara aman berdasarkan realiti, maka tiada sebab untuk kami tidak menemuinya,” kata Jong-un seperti yang dilaporkan KCNA.
Isu nuklear kekal sebagai halangan utama dalam hubungan antara kedua-dua negara, dengan Korea Utara berdepan pelbagai sekatan antarabangsa berikutan program senjata yang dilarang.
Namun, Jong-un menekankan melalui sekatan hanya menguatkan negaranya.
“Sekatan hanya membantu kami menjadi lebih kuat, membina ketahanan dan kecekalan yang tidak dapat dihancurkan oleh sebarang tekanan,” katanya.
Dalam kenyataan yang mengejutkan, Jong-un turut menyatakan pandangan positif terhadap Trump.
“Saya masih menyimpan kenangan manis secara peribadi terhadap Presiden AS sekarang, Trump,” ujarnya, merujuk kepada hubungan peribadi yang terbina semasa rundingan antara kedua-dua pemimpin itu pada penggal pertama Trump.
Sejak kegagalan sidang kemuncak di Hanoi, Korea Utara berulang kali menegaskan ia tidak akan menyerahkan senjata nuklear dan malah mengisytiharkan dirinya sebagai negara kuasa nuklear yang “tidak boleh dipulihkan”.
Jong-un sekali lagi menolak sepenuhnya sebarang kemungkinan pelucutan senjata.
“Dunia sudah tahu apa yang dilakukan oleh AS selepas memaksa sesebuah negara melucutkan senjata nuklearnya. Kami tidak akan sekali-kali menyerahkan senjata nuklear kami,” katanya.
Dalam ucapan yang sama, Jong-un turut menolak sebarang kemungkinan rundingan dengan Korea Selatan, meskipun Presiden baharu Seoul, Lee Jae-myung menunjukkan usaha untuk meredakan ketegangan antara kedua-dua Korea.
“Kami nyatakan dengan jelas yang kami tidak akan berurusan dengan mereka dalam apa jua bentuk,” katanya.










