NEW YORK: Iran dijangka kembali berdepan sekatan besar-besaran oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) buat pertama kali dalam tempoh sedekad selepas rundingan nuklear dengan Barat menemui jalan buntu.
Agensi tenaga atom PBB pada Jumaat mengesahkan pemeriksa dibenarkan semula ke tapak nuklear Iran, namun kuasa Barat menolak untuk menangguhkan sekatan selepas seminggu rundingan peringkat tinggi di Perhimpunan Agung PBB (UNGA).
Sekatan itu bertujuan memberi tekanan ekonomi baharu ke atas Iran, tetapi masih belum jelas sejauh mana negara lain akan menguatkuasakannya.
Russia dan China cuba menangguhkan pelaksanaan sekatan hingga April, namun gagal memperoleh sokongan mencukupi di Majlis Keselamatan PBB.
Sebulan lalu, kuasa Eropah mengaktifkan mekanisme ‘snapback’ sekatan, menuduh Iran gagal memberi penjelasan penuh mengenai program nuklearnya termasuk tindak balas balistik terhadap serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Televisyen rasmi Iran melaporkan Teheran memanggil pulang dutanya di Britain, Perancis dan Jerman untuk rundingan selepas tiga negara Eropah itu mencetuskan mekanisme berkenaan.
Sekatan dijangka berkuat kuasa pada Ahad melibatkan larangan global bekerjasama dengan syarikat, individu dan organisasi yang dikaitkan dengan pembangunan program nuklear atau peluru berpandu Iran.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian berkata, tiada sebab untuk mencapai persetujuan kerana menurutnya Israel dan AS hanya mahu menggunakan tekanan untuk menggulingkan republik Islam itu.
“Jika matlamatnya sekadar menyelesaikan kebimbangan tentang program nuklear, kami boleh melakukannya dengan mudah,” katanya sambil menegaskan Iran tidak akan mengejar senjata nuklear.
Beliau mendedahkan Perancis mencadangkan supaya Iran menyerahkan stok uranium diperkaya sebagai pertukaran bagi penangguhan sekatan selama sebulan, namun menolak cadangan itu sebagai jerat yang hanya akan menjerut Iran setiap bulan.
Pezeshkian turut menuduh Washington menekan Eropah agar tidak mencapai kompromi.-AFP










