HANGZHOU: Seorang guru warganegara asing yang berpangkalan di China memohon maaf selepas tindakannya memakai topeng menyeramkan ketika berada di dalam sebuah kereta di lebuh raya mencetuskan kekecohan di media sosial negara tersebut.
Rakaman video memaparkan lelaki berusia 42 tahun itu, yang dikenali sebagai Hugo, dilihat menurunkan cermin tingkap kereta lalu menjenguk keluar sambil memakai topeng berwajah seram ketika kenderaannya melalui Lebuhraya berhampiran Hangzhou, wilayah Zhejiang pada 24 Ogos lalu.
Klip pendek tersebut dirakam oleh seorang penumpang kenderaan lain yang berada di lorong bersebelahan.
“Kami tidak mengenalinya. Dia sengaja menurunkan tingkap dan melihat ke arah kami. Seorang penumpang wanita di kereta kami terkejut sehingga berasa mual,” kata individu yang merakam kejadian itu seperti dipetik portal City Express.
Video berkenaan menarik perhatian pihak berkuasa lalu lintas di mana menurut kenyataan rasmi polis pada 17 Ogos lalu, siasatan mendapati lelaki berkenaan merupakan guru di sebuah sekolah berhampiran Daerah Xiaoshan, Hangzhou.
Bagaimanapun, kewarganegaraannya tidak didedahkan.
Sementara itu, Polis menjelaskan, Hugo ketika itu sedang mencari makanan ringan dalam begnya dan menemui topeng yang dibelinya secara dalam talian pada November lalu.
Dia kemudian mengenakan topeng itu sekadar untuk bergurau, sebelum kelibatnya dirakam oleh penumpang kereta bersebelahan.
Kedua-dua kenderaan bergerak seiring selama kira-kira sembilan saat tanpa sebarang interaksi lisan.
Pihak polis menegaskan, tindakan sedemikian boleh mengganggu keselamatan jalan raya dan telah memberi amaran keras kepada beliau manakala Hugo dilaporkan kesal dengan perbuatannya serta memohon maaf kepada individu yang merakam kejadian tersebut.
Insiden itu turut mengundang pelbagai reaksi warganet di media sosial China di mana ramai yang mengkritik atas tindakan tersebut dan menggesa supaya perbuatan tersebut diharamkan di atas lebuh raya. -AGENSI










